News_archive

Lawatan Yingluck Perkukuh Hubungan Malaysia-Thailand – Najib

By Monday February 20th, 2012 No Comments

PUTRAJAYA, 21 Feb (Bernama) — Lawatan sulung Perdana Menteri Thailand Yingluck Shinawatra ke Malaysia mampu memperkukuhkan lagi hubungan erat sedia ada antara kedua-dua negara yang berjiran, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata lawatan singkat Yingluck pada Isnin menggariskan hubungan erat antara kedua-dua negara dan rakyatnya.

“Thailand dan Malaysia sentiasa menjadi lebih daripada sekadar jiran yang baik dan pertemuan hari ini merupakan satu langkah penting dalam proses mengeratkan lagi hubungan sedia ada.

“Jika kedua-dua negara terus maju pada tahun akan datang, adalah penting bagi kita bukan sahaja mengekalkan hubungan sedia ada malah meneroka kemungkinan bekerjasama dalam bidang lain selain memperluaskan lagi skop hubungan sedia ada,” katanya pada majlis makan malam sempena lawatan Yingluck di Seri Perdana pada Isnin.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib berkata hubungan perdagangan dua hala dan pelaburan antara Malaysia dan Thailand semakin meningkat.

“Ini adalah menggalakkan dan satu tanda keyakinan bahawa sektor swasta Malaysia mempunyai rakan sejawatan dari Thailand, kita tidak harus menganggap tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan lagi.

“Walaupun tanpa cabaran global ketika ini, ia merupakan satu langkah positif untuk meningkatkan lagi perdagangan intra-Asean.

“Memandangkan ekonomi utama barat terus berdepan dengan masalah dan pasaran eksport seberang laut tradisi semakin mengecil, langkah sedemikian dilihat penting bagi kedua-dua negara,” katanya.

Dalam ucapannya, Yingluck berkata lawatannya ke Malaysia membuahkan hasil, terutama dalam mempertingkat hubungan dua hala dan kerjasama serantau.

“Adalah menjadi harapan saya agar kerjasama dua hala kita menerusi Suruhanjaya Bersama (JC) bagi Kerjasama Bilateral akan terus berkembang demi faedah bersama.

“Ini tidak saja akan membolehkan kita memenuhi kepentingan rakyat kita, tetapi juga mempertingkat keamanan dan kemakmuran Asia Tenggara,” kata beliau.

Ini merupakan lawatan sulung Yingluck ke negara ini selepas menyandang jawatan perdana menteri Ogos tahun lepas.

Beliau dijadual melawat Malaysia pada Oktober tahun lepas tetapi menangguhkannya berikutan banjir besar yang melanda Thailand.

Terdahulu, Yingluck mengunjungi Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’azam Shah di Istana Negara dan mengadakan pertemuan tertutup dengan Najib dan delegasi Malaysia di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply