Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Lawatan PM Ke China Buka Lembaran Baru Hubungan Dua Hala - Najib Razak
News_archive

Lawatan PM Ke China Buka Lembaran Baru Hubungan Dua Hala

By Wednesday May 20th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) — Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke China awal bulan depan akan membuka lembaran baru dalam hubungan dua hala antara Malaysia dan China, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Lee Chee Leong, Khamis.

Beliau berkata hubungan antara kedua negara itu sudah bermula sejak lebih enam abad lagi, dan Perdana Menteri Malaysia kedua yang merupakan bapa kepada Najib, Tun Abdul Razak Hussein, dilihat memiliki wawasan jelas untuk membangunkan hubungan diplomatik dengan China pada 1974.

Katanya hubungan dua hala yang bermula secara sederhana itu menyaksikan pertumbuhan yang cukup mantap dari segi pengukuhan hubungan, peningkatan perdagangan, dan juga hubungan sesama rakyat.

Bercakap pada majlis khas sempena sambutan ulang tahun ke-35 hubungan dua hala Malaysia-China oleh Pertubuhan Persahabatan Malaysia-China (MCFA) dan Kedutaan China di sini malam ini, katanya beliau yakin lawatan Najib akan mengukuh dan memantapkan lagi hubungan antara dua negara.

Lee turut berharap China yang ketika ini merupakan pelabur ke-20 terbesar di Malaysia, akan menimbangkan untuk meningkatkan pelaburannya di Malaysia, yang memiliki iklim pelaburan yang stabil.

Sementara itu duta besar China ke Malaysia, Liu Jian berkata kemantapan hubungan dua hala Malaysia-China membawa manfaat cukup besar kepada kedua-dua negara.

“Hubungan peringkat tinggi antara pemimpin kedua-dua negara juga cukup cemerlang,” katanya.

Beliau seterusnya menyuarakan keyakinan bahawa kunjungan Najib ke China nanti akan membawa sinar era baru dalam hubungan dua hala antara kedua negara.

Presiden MCFA Datuk Abdul Majid Khan pula berkata keputusan penuh wawasan oleh Tun Abdul Razak pada 1974, membawa kepada hubungan persahabatan cukup baik yang dinikmati Malaysia dan China sehingga hari ini.

Majid, yang merupakan duta besar Malaysia ke China beberapa tahun lalu berkata kedua-dua negara berkongsi objektif sama dalam kembara mencari keamanan dan pembangunan, dan hubungan antara dua negara pasti akan bertambah kukuh pada tahun-tahun akan datang.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk aimeph Salang Gandum, serta Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, serta lain-lain pegawai kanan kerajaan dan pemimpin-pemimpin korporat.

Sumber : Bernama

Leave a Reply