News_archive

Lawatan PM ke China bincang tema ekonomi

By Friday May 29th, 2009 No Comments

PUTRAJAYA 29 Mei – Isu ekonomi dan perdagangan menjadi topik penting yang akan dibincangkan antara Malaysia dengan China semasa lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke republik itu pada 2 hingga 5 Jun ini.

Menteri Luar, Datuk Anifah Aman berkata, beberapa memorandum persefahaman dan perjanjian bilateral dijangka dimeterai sempena lawatan tersebut.

”Pelbagai isu akan dibincangkan secara bersama semasa perjumpaan antara pemimpin dua negara dijalankan.

”China merupakan rakan dagang penting untuk Malaysia dan saya yakin tiada isu yang tidak dapat dibincangkan antara dua negara,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Delegasi Malaysia ke China turut disertai Anifah; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed; Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Sementara itu, Anifah berkata, Mesyuarat Menteri ASEAN-Kesatuan Eopah (AEMM) yang diadakan di Phnom Penh, Kemboja pada 27 hingga 28 Mei lalu menyelar tindakan kerajaan Myanmar yang menahan pemimpin demokrasi negara itu, Aung San Suu Kyi.

”Kita mahu Myanmar membebaskan Suu Kyi dan membenarkan pilihan raya dijalankan dengan segera di negara itu.

”ASEAN bagaimanapun tidak berbincang tentang kemungkinan Myanmar akan digantung keahliannya,” katanya.

Tambah Anifah, AEMM turut menyelar ujian nuklear dan pelancaran peluru berpandu yang dilakukan Korea Utara.

”Korea Utara telah melanggar perjanjian dalam perundingan enam parti dan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply