News_archive

Lawatan PM Ke Australia, Usaha Selesai Pelbagai Isu Termasuk Keselamatan

By Tuesday March 1st, 2011 No Comments

PUTRAJAYA, 2 Mac (Bernama) — Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Australia bermula Rabu diharap dapat merealisasikan usaha kedua-dua negara untuk menangani pelbagai isu terutamanya dalam konteks keselamatan.

Beliau berkata lawatan itu juga diharap dapat memperkasakan kerjasama kedua-dua negara dalam isu penyeludupan manusia dan menangani isu keganasan demi menjaga kepentingan serantau.

Menurutnya sebelum ini kedua-dua negara menjalinkan kerjasama yang baik dalam menangani dan membanteras keganasan antarabangsa serta militan sejak sekian lama.

“Antara pihak yang terlibat dalam mewujudkan kerjasama baik dengan Malaysia ialah Polis Persekutuan Australia (AFP), Perkhidmatan Risikan Rahsia Australia (ASIS) dan Pertubuhan Risikan Keselamatan Australia (ASIO),” katanya kepada pemberita di sini.

Katanya kerjasama itu telah membuahkan hasil yang memberangsangkan dalam konteks keselamatan bukan sahaja antara kedua-dua negara malah turut membantu mengawal keselamatan serantau.

Hishammuddin berkata antara kejayaan bersama yang telah dicapai antara kedua-dua negara adalah penangkapan seorang rakyat Iraq, Sayed Omeid yang dipercayai ketua sindiket penyeludupan manusia sebelum ini.

“Dia kini didakwa mengikut Akta Imigresen dan kes berkenaan masih dalam perbicaraan sementara menunggu proses ekstradisi ke Australia,” kata beliau.

Lawatan Najib selama tiga hari itu atas jemputan rakan sejawatannya, Julia Gillard sebagai membalas lawatan rasmi beliau ke negara ini, pada tahun lepas.

Ini lawatan pertama Najib ke Australia sejak memegang jawatan Perdana Menteri.

Sumber : Bernama

Leave a Reply