News_archive

Lawatan Perdana Menteri Singapura Ke Malaysia Rapatkan Lagi Hubungan Kedua-dua Negara

By Wednesday January 4th, 2012 No Comments

SINGAPURA, 4 Jan (Bernama) — Lawatan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong ke Malaysia pada Khamis akan merapatkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara berjiran itu, menurut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Md Hussin Nayan.

Lee dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mebincangkan cara-cara mengukuhkan lagi hubungan dua hala bagi melaksanakan Perkara-perkara Perjanjian (POA) mengenai tanah Keretapi Tanah Melayu di Singapura pada 1 Julai, 2011.

Hussin menyifatkan resolusi POA, merupakan hubungan dua hala yang terbaik antara Malaysia dan Singapura serta usaha-usaha ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi dengan meneroka peluang-peluang baru.

Kerjasama antara kedua-dua negara dalam bidang perdagangan dan pelaburan diperluaskan di bawah Kawasan Perdagangan Bebas Asean (AFTA), katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pada hakikatnya kedua-dua perdana menteri itu yang sering mengadakan pertemuan, menunjukkan komitmen serius mereka untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala dan kerjasama bagi manfaat bersama.

Hussin berkata isu-isu tertangguh antara kedua-dua negara sedang ditangani menerusi pertemuan peringkat pegawai di mana kedua-dua pihak memahami pentingnya mengekalkan kestabilan ekonomi dan politik di rantau ini.

Beliau juga berkata tahun lepas menyaksikan banyak lawatan yang dilakukan pada peringkat tinggi termasuk oleh perdana menteri dan timbalan perdana menteri serta menteri-menteri kedua-dua negara.

Lawatan pada peringkat tinggi ini akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan dan membuka peluang kerjasama rapat antara pegawai kerajaan, perniagaan dan rakyat Malaysia dan Singapura.

Perkara yang akan dibincangkan pada pertemuan Khamis antaranya ialah projek bersama di Iskandar Malaysia dan cara-cara untuk meningkatkan lagi hubungkait dan pertukaran rentas sempadan.

Para pegawai Iskandar Malaysia dan syarikat bersama M-S Private Ltd dari Singapura dijangka memberikan taklimat kepada Najib dan Lee mengenai kemajuan projek yang dijalankan oleh kedua-dua pihak.

Lee akan diiringi beberapa menteri kabinet termasuk Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Penyelarasan untuk Keselamatan Negara Teo Chee Hean, Menteri Perdagangan dan Industri Lim Hng Kiang dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kesenian Yaacob Ibrahim.

Sumber : Bernama

Leave a Reply