Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Lawatan Najib Ke Turki Tingkatkan Hubungan Dua Hala - Anifah Aman - Najib Razak
News_archive

Lawatan Najib Ke Turki Tingkatkan Hubungan Dua Hala – Anifah Aman

By Sunday February 20th, 2011 No Comments

ISTANBUL, 20 Feb (Bernama) – Lawatan rasmi pertama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Turki dari 21 hingga 23 Feb akan mengeratkan lagi hubungan rapat dan kerjasama dua hala sedia antara kedua-dua negara, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Beliau berkata lawatan itu juga memberi peluang keemasan kepada Najib dan Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan untuk mengeratkan hubungan persahabatan antara mereka, di samping bertukar pandangan tentang isu kepentingan bersama.

“Malaysia yakin lawatan ini akan meningkatkan hubungan antara kedua-dua negara ke tahap baru pada masa akan datang.

Malaysia berpuas hati dengan hubungan dua hala yang begitu erat antara kedua-dua negara. Kedua-dua negara amat berminat untuk meningkatkan lagi hubungan dalam semua bidang kerjasama dua hala demi kepentingan bersama,” kata Anifah kepada wartawan Malaysia menjelang kunjungan perdana menteri ke sini.

Beliau berkata Malaysia dan Turki perlu meneroka cara dan kaedah untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala sedia ada dalam pelbagai bidang seperti perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pelancongan, perbankan, kewangan, bantuan teknikal dan pembangunan keupayaan manusia serta sains dan teknologi untuk faedah bersama.

Ini adalah lawatan rasmi sulung Najib ke Turki sejak menyandang jawatan perdana menteri pada April 2009.

Anifah berkata dalam lawatan itu, Perdana Menteri akan diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Luar, Menteri Dalam Negeri, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Menteri Pertahanan serta beberapa Anggota Parlimen dan pegawai kanan kerajaan.

Pada 21 Feb, Najib akan melakukan kunjungan terhadap Presiden Abdullah Gul di Istanbul, sebelum meneruskan perjalanan ke Ankara.

Di Ankara, agenda lawatan Najib termasuk pertemuan peribadi dengan rakan sejawatan beliau Recep Tayyip Erdogan dan menyertai mesyuarat antara delegasi Malaysia dan Turki, yang diketuai kedua-dua perdana menteri.

Najib juga dijadual menyaksikan upacara pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara SME Corp. Malaysia dan KOSGEB (Pertubuhan Pembangunan Syarikat Kecil dan Sederhana) Turki dan perjanjian antara DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd Malaysia dan FNSS Savunma Sistemleri A.S., Turkey.

Beliau juga dijadual mengambil bahagian dalam Rundingan Meja Bulat Perniagaan Malaysia-Turki anjuran Lembaga Kemajuan Industri Malaysia (MIDA) dan Pergerakan Sejagat bagi Keadilan, Keamanan dan Maruah anjuran bersama Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan International Movement for a Just World (JUST).

Mengenai perdagangan dan pelaburan, Anifah berkata Malaysia gembira dengan arah aliran positif dagangan dua hala antara kedua-dua negara.

Kata beliau dalam tempoh beberapa tahun lepas, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Turki mencatat peningkatan, kecuali pada 2009, berikutan kemelesatan ekonomi global.

Nilai dagangan antara Malaysia dan Turki pada 2010 berjumlah RM2.5 bilion (USD837.6 juta), berbanding RM2 bilion (USD587.84 juta) pada 2009.

Imbangan perdagangan pula memihak kepada Malaysia dan Turki merupakan rakan perdagangan kelima terbesar bagi Malaysia dari Asia Barat dan yang ke-41 secara keseluruhan, katanya.

Anifah berkata Malaysia akan terus menggalakkan syarikatnya meningkatkan dan meluaskan kegiatan perniagaan mereka di Turki.

“Sektor swasta di kedua-dua negara perlu digalakkan meneroka peluang baru yang wujud di kedua-dua negara bagi meningkatkan perdagangan serta pelaburan, katanya.

Beliau berkata Malaysia juga ingin melihat lebih banyak pelancong Turki melawat Malaysia kerana Malaysia mempunyai banyak tempat indah dan menarik untuk mereka kunjungi.

Katanya ketibaan pelancong Turki ke Malaysia bagi tempoh Januari hingga November tahun lepas berjumlah 8,555, berbanding 7,573 bagi tempoh sama pada 2009.

Anifah berkata Malaysia akan terus menawarkan bantuan teknikal kepada Turki di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) dan sejak program itu membuka pintunya kepada negara tersebut pada 1983, sebanyak 239 rakyat Turki telah mengikuti kursus dalam pelbagai bidang di Malaysia.

Katanya Malaysia juga berharap lebih banyak pelajar Turki mengikuti pengajian peringkat lepasan ijazah di Malaysia.

Pada sidang akhbar itu juga, Anifah mengumumkan perlanjutan khidmat Datuk Cevdet SEFER sebagai Konsul Kehormat Malaysia di Istanbul untuk tiga tahun lagi.

Beliau menyandang jawatan itu sejak lapan tahun lepas.

Sumber : Bernama

Leave a Reply