News_archive

Lawatan Najib Ke Myanmar Tingkatkan Hubungan Dua Hala

By Tuesday March 27th, 2012 No Comments

NAYPYITAW, (Myanmar), 27 Mac (Bernama) — Lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Myanmar bermula Rabu merupakan peluang bagi kedua buah negara meningkatkan kerjasama dua hala pada masa ini ke tahap baru.

Sambil menyifatkan lawatan itu sebagai signifikan di tengah-tengah hubungan dua hala yang sudah lama terjalin, Duta Besar Malaysia ke Myanmar, Dr Ahmad Faisal Mohamed berkata ia boleh membuka pintu yang lebih luas kepada kerjasama dan aliran pelaburan dan perdagangan antara kerajaan dengan kerajaan (G-G).

Hubungan kerajaan dengan kerajaan itu sentiasa kukuh, dalam dagangan dan pelaburan dan peluang itu perlu diambil untuk berbincang mengenai bidang-bidang yang boleh dimajukan lagi kerana potensinya amat besar, katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan Najib di sini Selasa.

Ahmad Faisal berkata pelabur dan ahli perniagaan Malaysia yang serius untuk melabur di Myanmar perlu merebut peluang itu sekarang.

Beliau berkata masyarakat pelabur dan perniagaan kini begitu optimis dengan pandangan pelaburan di Myanmar memandangkan kerajaan baru bertekad untuk berubah dalam semua aspek bagi memudahkan perniagaan dan pelaburan.

“Ada semacam berebut-rebut, Myanmar kini menjadi destinasi baru yang hangat bagi ahli perniagaan,” katanya.

“Semua orang berminat dengan Myanmar, jika anda lewat, semua peluang akan terlepas,” katanya.

Jumlah dagangan antara Malaysia dan Myanmar pada 2011 berjumlah RM2.43 bilion, peningkatan 26.8 peratus berbanding pada 2010.

Antara badan korporat besar Malaysia yang pada masa ini ada di Myanmar ialah syarikat petroleum negara Petronas dan pemilik hotel Micasa.

Beliau berkata antara bidang yang boleh dimanfaatkan oleh Myanmar dari Malaysia ialah dalam sektor perladangan dan pembuatan.

Lebih 50 ahli perniagaan Malaysia dari pelbagai sektor seperti telekomunikasi, pembinaan, pertanian akan berada di ibu negara Myanmar bagi merebut peluang itu semasa lawatan Najib.

Najib dijadual bertemu pemimpin perniagaan terpilih dan menghadiri perbincangan semasa makan tengah hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Myanmar pada Khamis.

Ahmad Faisal berkata antara kerjasama yang boleh dipertingkatkan lagi antara Malaysia dan Myanmar adalah dalam bidang pembangunan keupayaan di mana Myanmar merupakan salah satu daripada penerima dalam program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) dengan lebih 1,000 rakyat Myanmar mendapat faedah daripada program teknikal.

“Kita ingin mendengar daripada mereka berhubung bidang yang mereka mahu dibantu sambil menambah kata bahawa Malaysia juga bersedia menghulurkan bantuan kepada Myamar bagi menjulang tugas pengerusi Asean pada 2014.

Malaysia dan Myanmar juga boleh meninjau cara bagi meningkatkan mekanisme mengenai isu tenaga manusia, katanya.

Lawatan itu, yang pertama bagi Najib sejak menjadi Perdana Menteri pada April 2009 juga signifikan berikutan proses pembaharuan yang diusahakan oleh kerajaan baru, katanya.

“Kita mempunyai peluang untuk melahirkan sokongan kita dengan proses yang berlaku di Myanmar dan para pemimpin membaharui komitmen untuk bekerjasama secara dua hala, secara serantau atau antarabangsa,” katanya.

Najib mempunyai program padat di ibu negara Myanmar di mana antara lain, beliau dijadual terlibat dalam mesyuarat terhad dengan Presiden Myanmar U Thein Sein.

Selepas enam dekad di bawah pemerintahan diktator tentera, Myanmar bergerak pantas ke arah demokrasi yang lebih luas di bawah Thein Sein. Myanmar juga akan mengadakan pilihan raya kecil pada 1 April yang akan menyaksikan bekas tahanan politik Aung San Suu Kyi mengambil bahagian.

Najib akan diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, beberapa menteri kabinet termasuk Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan timbalan-timbalan menteri dengan 100 orang delegasi.

Lawatan rasmi ke Myanmar oleh seorang Perdana Menteri Malaysia adalah pada tahun 2004 semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi mengadakan lawatan.

Sumber : Bernama

Leave a Reply