News_archive

Lawatan Najib Ke Myanmar Membuahkan Hasil Memberangsangkan

By Thursday March 29th, 2012 No Comments

NAYPYITAW (Myanmar), 29 Mac (Bernama) — Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan delegasi ke Myanmar membuahkan hasil dengan beberapa pendekatan baru dikenal pasti untuk merangsang hubungan dua hala dan membuka peluang dalam sektor baru.

Hubungan dua hala Malaysia-Myanmar itu bakal diperkukuhkan melalui penubuhan kerangka institusi Suruhanjaya Bersama yang akan mengadakan mesyuarat pertamanya Jun ini di mana Malaysia sebagai hosnya.

Suruhanjaya Bersama itu, yang akan diterajui menteri luar negara masing-masing akan memudahkan lagi perundingan dan kerjasama dalam bidang kepentingan bersama.

Najib dalam sidang media pada hari akhir lawatannya Khamis berkata beberapa pendekatan untuk meningkatkan perdagangan langsung antara Malaysia dan Myanmar juga turut disentuh pada lawatannya itu.

Malaysia dan Myanmar, katanya, bersetuju agar bank pusat masing-masing mengkaji kemungkinan menguruskan sebahagian perdagangan dalam mata wang tempatan bagi mengatasi masalah sekatan yang dikenakan terhadap Myanmar.

Beliau berkata Malaysia dan Myanmar juga bersetuju mempertimbangkan penubuhan satu cawangan bank Myanmar di Malaysia manakala Myanmar memberi kebenaran untuk satu bank Malaysia beroperasi di Myanmar.

Dalam bidang pelaburan, katanya, Presiden Myanmar U Thein Sein mempelawa Malaysia untuk menambah pelaburan di negara tersebut dalam sektor tambah nilai untuk perladangan seperti getah dan sawit, bidang perhotelan dan minyak dan gas selain dalam bidang-bidang baru seperti pelancongan, hospital, farmaseutikal, pembinaan dan telekomunikasi.

Beliau berkata Myanmar juga telah menawarkan dua blok baru minyak untuk syarikat petroleum negara Petronas.

“Presiden (Thein Sein) berharap Petronas dapat memberikan latihan kepada rakyat Myanmar,” katanya.

Najib berkata Malaysia telah menawarkan pegawai dan petugas teknikal bagi membantu penganjuran Sukan Sea di Myanmar pada tahun depan.

Perdana Menteri pada Khamis juga menyaksikan pemeteraian lima memorandum persefahaman (MoU) antara perbadanan Malaysia dan entiti Myanmar.

MoU antara Petronas Carigali Myanmar Inc dan UNOG Pte Ltd bagi menjalankan operasi bersama dalam cari gali, pembangunan dan pengeluaran petroleum.

Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) memeterai MoU dengan Myanmar Timber Merchants Association (MTMA) untuk latihan, pembinaan kapasiti, pemasaran dan perkongsian dan pertukaran maklumat.

Target Resources Corporation Sdn Bhd menandatangani MoU dengan Yamin Thida Co.Ltd� bagi kerjasama dalam perkhidmatan dalam bidang minyak, gas dan maritim dan telekomunikasi.

MoU antara Esa Jurutera Perunding & Esa International Sdn Bhd dan WIN THIN & Associates dan WIN Consulting pula berkaitan dengan perundingan kewangan dan perniagaan dan perkhidmatan cukai dan undang-undang.

Cypark Resources Bhd menandatangani MoU dengan Myanmar Investment Company Ltd bagi kerjasama dalam bidang pengurusan sisa dan tenaga diperbaharui di Myanmar.

Sumber : Bernama

Leave a Reply