News_archive

Lawatan Najib Ke Hawaii Kembalikan Nostalgia Sukarelawan Kor Keamanan

By Tuesday November 15th, 2011 No Comments

HONOLULU, 15 Nov (Bernama) – Leonard Camp Jr, adalah jurutera pembinaan dari Rochester di New York pada sekitar tahun 60-an.

Masih muda dan mahu melihat dunia, beliau tidak melepaskan peluang apabila dipilih sebagai anggota Kor Sukarelawan Keamanan untuk berkhidmat di Sabah antara 1963 hingga 1965.

Berkhidmat di Jabatan Kerja Raya ketika itu, beliau bertanggungjawab menyediakan kaji ukur asal jalan raya menghubungkan Penampang dan Kudat dan seterusnya dari Sandakan ke lapangan terbang Tawau.

Dan beliau melakukannya dengan penuh minat, kerana tidak terdapat kuarters kerajaan tetapi perlu berkhemah di dalam hutan selama berminggu-minggu bagi menjalankan kaji ukur untuk pembangunan jalan raya dan landasan kapal terbang di hutan dara berkenaan.

Apabila Datuk Seri Jamaludin Jarjis menjadi Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, fakta menarik yang ditemuinya ialah terdapat lebih 30 bekas anggota kor sukarelawan keamanan di Hawaii pernah berkhidmat di Malaysia.

Menyedari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan berkunjung ke Honolulu bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec), beliau memutuskan untuk mengaturkan mereka untuk bertemu dengan Perdana Menteri.

Mereka menerima jemputan itu, kebanyakannya kini berusia lewat 70-an dan 80-an, terpaksa mengharungi kesesakan trafik yang teruk pada Ahad berikutan mesyuarat Apec untuk bertemu dengan Perdana Menteri pada majlis yang berlangsung di hotel Halekulani di sini.

Mereka kagum dengan kemesraan dan sikap rendah diri Najib yang bertegur sapa dengan setiap mereka serta pelajar dan rakyat Malaysia di Hawaii yang turut hadir pada majlis itu.

Secara tidak langsung, ia merupakan tanda penghargaan di pihak Najib kepada sukarelawan berkenaan yang telah menaburkan bakti dalam pembangunan Malaysia pada tahun-tahun awal pembentukannya.

Semasa berbual-bual dengan rakyat Malaysia mengenai zaman itu, secara tidak langsung telah mengembalikan nostalgia itu yang masih segar dalam memori sukarelawan berkenaan.

“Saya ada banyak kenangan manis mengenai Malaysia,” kata Camp dengan perasaan terharu sambil berkata tidak pernah terlints di fikirannya yang dirinya akan diberikan penghargaan dengan kehadiran Najib dan dijemput ke majlis itu.

Seorang lagi sukarelawan ialah Ed Chip Euhara-Tilton, yang berkhidmat di Kuantan pada 1966 ketika berumur 20 tahun.

Berasal dari Arizona, beliau mendaftar di California untuk mengikuti kursus singkat beberapa minggu untuk belajar Bahasa Melayu dan adat resam penduduk tempatan.

Mengenai keadaannya semasa tinggal sementara di Malaysia, katanya: “Ia satu cabaran, perlu banyak bersabar.”

Jamaludin berkata beliau akan menubuhkan alumni kor keamanan di setiap negeri di Amerika. Kerajaan Malaysia bercadang menghidupkan semula kor keamanan dan kumpulan pertama sukarelawan yang bersedia mengajar Bahasa Inggeris dijadual tiba pada Januari.

Program kor sukarelawan keamanan diilhamkan oleh bekas Presiden AS mendiang John F. Kennedy pada 1 Mac, 1961, di 28 negara termasuk Malaysia.

Sumber : Bernama

Leave a Reply