News_archive

Lawatan Najib Beri Makna Besar Kepada Hubungan Malaysia-Jepun

By Saturday May 28th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) — Pada mulanya terdapat banyak saranan agar Datuk Seri Najib Tun Razak menangguhkan lawatannya ke Jepun berikutan kebimbangan radiasi selepas krisis nuklear akibat gempa bumi di negara itu baru-baru ini.

Saintis berkata gempa bumi Tohoku di timur laut Jepun itu, yang merupakan keempat terbesar yang dicatatkan, telah meningkatkan risiko gempa di tempat-tempat lain termasuk kawasan Tokyo dan Gunung Fuji.

Gempa bumi dan tsunami itu telah melumpuhkan kompleks nuklear Fukushima Dai-ichi di timur laut Jepun dan menyebabkan krisis nuklear paling buruk semenjak Chernobyl.

Bahkan ketika Najib berada di Tokyo, satu kejadian kebakaran telah berlaku di salah satu loji nuklear di syarikat itu tetapi segera dipadamkan.

Sungguhpun dengan bahaya sedemikian Perdana Menteri tetap mahu meneruskan lawatan kerja berikutan kepentingan hubungan Kuala Lumpur-Tokyo yang telah lama terjalin.

Yang paling penting, Najib berhasrat menyampaikan secara peribadi sokongan Kuala Lumpur kepada rakyat Jepun terutamanya untuk 15,000 yang terbunuh dan beribu-ribu yang terjejas oleh gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac itu.

Dalam satu ucapan di hadapan satu ribu peserta pada Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-17 Khamis lepas, beliau mengkhususkan sebahagian besar ucapannya untuk menekankan perpaduan Malaysia dengan Jepun.

“Saya menujukan kata-kata saya hari ini sebagai penghormatan kepada semua yang tidak lagi bersama-sama kita – semoga roh mereka bersemadi dengan aman,” kata beliau.

Beliau juga memberi penghormatan kepada semangat kemanusiaan yang ditunjukkan oleh rakyat Jepun ketika menghadapi krisis dengan penuh disiplin dan kecekalan.

Tersentuh dengan ucapan beliau, peserta Jepun memberikan Najib tepukan gemuruh selepas ucapannya dan ketika beliau meninggalkan bilik Fuji di Hotel Imperial.

Pesanan Najib tepat pada waktunya dan amat penting, iaitu untuk Asean dan Asia berganding bahu dengan anggota komuniti serantau dan membantu mereka ketika mereka memerlukan.

Jepun dilaporkan memerlukan US$309 bilion untuk pembangunan dan pembinaan semula, menjadikannya bencana alam termahal dunia.

Kestabilan, prasarana dan kedudukan strategik Malaysia sebagai satu kawasan yang terlindung daripada lingkaran api Pasifik bermakna ia berada pada kedudukan yang sesuai untuk berperanan sebagai pangkalan bagi syarikat-syarikat yang berusaha untuk membina semula Jepun.

Pengeluaran kenderaan Jepun merosot pada April kerana kilang pembekal dimusnahkan oleh bencana 11 Mac dan yen yang kukuh juga tidak membantu eksport.

Mungkin, ini adalah masa yang sesuai untuk firma Jepun, untuk berpindah atau mengembangkan operasi di Malaysia untuk mengurangkan kos serta memastikan pengeluaran dengan berpindah jauh daripada lingkaran api itu.

Sehubungan itu, mesyuarat Dewan Perdagangan dan Industri Asean-Jepun, yang akan dianjurkan oleh Malaysia pada Julai, adalah penting bagi firma Jepun untuk membincangkan pilihan untuk berpindah.

Malaysia pula, bersedia untuk membantu, termasuk merangka insentif pelaburan khas, sebagai tindakan ikhlas untuk membantu firma Jepun.

Ini adalah lebih-lebih lagi kerana Jepun merupakan pelabur utama di Malaysia semenjak 1970an dan merancakkan pelaburan Jepun adalah perkembangan biasa dalam operasi mereka di Malaysia.

Mesyuarat Najib dengan Menteri Luar Jepun Takeaki Matsumoto serta pegawai-pegawai Persatuan Ekonomi Jepun Malaysia, termasuk firma-firma seperti Hitachi, Marubeni Corporation, Sumitomo Corporation dan Toshiba, juga menghasilkan banyak keputusan penting.

Perdana Menteri mengumumkan firma Jepun akan melabur kira-kira RM9 bilion di Malaysia antara sekarang dan 2015.

Ini menunjukkan kepercayaan Jepun pada Malaysia sebagai destinasi pelaburan terbaik, hasil usaha Lembaga Kemajuan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk menarik pelaburan yang diperlukan.

Berita yang paling dialu-alukan ialah pelaburan sejumlah RM3.7 bilion oleh Tokuyama Corporation di kilangnya di Bintulu untuk mengilangkan polisilikon, iaitu bahan yang digunakan untuk membuat sel solar dan bahagian elektronik.

Matsumoto telah menunjukkan firma-firma Jepun berminat dalam pelaburan bagi projek prasarana yang dijana Pelan Transformasi Ekonomi, khususnya sistem Transit Aliran Berkapasiti Tinggi.

Lawatan Najib, sungguhpun singkat, amat berjaya, bukan sahaja dalam memastikan dagangan dua hala dan perkaitan pelaburan tidak terjejas akibat bencana 11 Mac itu, tetapi juga untuk menunjukkan kepada Jepun bahawa Malaysia mengambil berat dan adalah sahabat dalam erti kata sebenar.

Sumber : Bernama

Leave a Reply