News_archive

Lawatan Kuan Yew Bukan Sekadar Untuk Menyusuri Jalan Kenangan?

By Friday June 5th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) — Menteri Mentor Lee Kuan Yew, perdana menteri pertama dan bapa Singapura Moden, akan ke Malaysia minggu depan bagi melawat beberapa negeri dan berjumpa dengan beberapa pemimpin, ahli perniagaan, pemimpin pendapat dan wartawan kanan Malaysia.

Lee, 85, akan membuka tirai kunjungan lapan hari beliau dari 8 hingga 15 Jun itu dengan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan beberapa pegawai berprofil tinggi serta editor dan ahli politik terkemuka Malaysia.

Para pegawai kedua-dua negara berkata Lee juga dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ahli politik Umno serta rakan lama beliau, yang disifatkan oleh sesetengah pihak “untuk menyusuri jalan kenangan”.

Media Singapura dikatakan akan menghantar ramai wartawannya bagi membuat liputan kunjungan Lee itu, termasuk ke Perak, Pulau Pinang, Kelantan dan Pahang.

Lee dijadualkan melawat Ipoh dan menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, serta mengunjungi Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Selepas itu, beliau akan ke Pulau Pinang untuk mengunjungi Ketua Menteri Lim Guan Eng, sebelum ke Kelantan.

Di negeri pantai timur itu, beliau dijadualkan menghadap Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra dan mengunjungi Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang dipercayai sebagai pertemuan pertama antara mereka. Nik Abdul Aziz, yang juga Mursyidul Am PAS, menjadi Menteri Besar Kelantan sejak 19 tahun lepas.

Selepas Kelantan, Lee akan meneruskan lawatannya ke Pahang di mana beliau akan menghadap Sultan Ahmad Shah dan mengunjungi Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.

Anak lelaki Lee, yang juga Perdana Menteri Singapura sekarang, Hsien Loong, pula dijangka berkunjung ke Kuala Lumpur tidak lama lagi.

Penganalisis politik percaya lawatan Lee ke Malaysia lebih daripada sekadar untuk menyusuri jalan kenangan kerana beliau terkenal sebagai seorang yang sentiasa mengikuti perkembangan, terutama senario yang wujud di sesuatu tempat yang mempunyai kaitan sejarah dengan Singapura.

Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin menyifatkan Lee sebagai tokoh yang begitu memahami hubungan antara kedua-dua negara kerana beliau sendiri menjadi sebahagian daripada sejarah pembentukan Malaysia dan perpisahan Singapura daripada Malaysia.

“Lawatan ini boleh dilihat sebagai penerimaan terhadap (Perdana Menteri) Najib kerana Lee terkenal sebagai seorang yang amat meyakini bahawa sekiranya Malaysia tidak stabil, ia akan menjejaskan Singapura.

“Najib adalah anak kepada (perdana menteri Malaysia kedua) Tun Abdul Razak, manakala Lee dan Tun Abdul Razak pula adalah rakan seangkatan, yang sama-sama menuntut dalam jurusan undang-undang di London …satu lagi ikatan yang menghubungkan mereka berdua.

“Saya tahu, Lee amat prihatin tentang apa yang berlaku di Malaysia kerana apa saja yang berlaku di sini, akan memberi kesan terhadap Singapura. Perkara-perkara yang membentuk Malaysia, akan turut membentuk Singapura,” kata Prof Shamsul Amri, yang dijangka turut mengadakan pertemuan dengan Lee nanti.

Beliau berkata Lee mengumpamakan perkembangan di Malaysia dan Singapura sebagai “tali pusat” yang menghubungkan dua negara berkenaan.

Prof Shamsul Amri berkata sebelum membuat sesuatu kenyataan, Lee akan memikirkannya dengan mendalam kerana beliau bukan jenis pemimpin yang gemar mengeluarkan kenyataan popular.

“Kalau anda amati ucapan beliau, anda akan dapati bahawa beliau mempunyai banyak maklumat,” katanya.

Seorang lagi penganalisis politik, Dr Oh Ei Sun, pula percaya bahawa semasa lawatannya, Lee akan mengambil maklum tentang perkembangan terkini di Malaysia, selain meninjau cara-cara untuk meningkatkan hubungan dua hala — sesuatu yang sering beliau lakukan apabila berkunjung ke luar negara.

“Beliau akan berjumpa dengan anggota masyarakat daripada pelbagai lapisan. Beliau ni, lebih kurang, menjadi penasihat kepada kerajaan. Tapi, beliau bukan saja memberi nasihat kepada kerajaan Singapura. Kadang-kadang, beliau juga menawarkan nasihat kepada negara yang beliau lawati,” kata penganalisis berkenaan.

Hubungan Malaysia-Singapura sedikit bermasalah semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri Malaysia, tetapi pada era kempimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi, hubungan antara kedua-dua negara menjadi semakin mesra.

“Kini, Najib telah mengambil alih. Kuan Yew adalah kenalan lama ayahanda Najib (Tun Abdul Razak). Barangkali, beliau akan menggunakan kesempatan ini bagi mencari jalan untuk memperbaiki hubungan. Saya berpendapat, kunjungan ini akan merapatkan lagi hubungan sedia ada,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply