BlogFeatured Articles

Lawatan Kerja Ke Sabah Mac 2017

By Sunday March 5th, 2017 No Comments

Setiap kali saya ke Sabah, jika ada kesempatan, saya akan mengambil peluang menikmati pemandangan indah Gunung Kinabalu, truly one of the wonders of Malaysia, dan bukti kebesaran kuasa Allah SWT, Masya-Allah.

Lawatan kerja saya ke Sabah kali ini saya mulakan di Sandakan, di mana saya merasmikan Projek Perumahan Rakyat Lupak Meluas, Taman Batu Sapi. Saya begitu senang hati melihat wajah-wajah ceria, 180 keluarga yang menerima rumah baru yang jauh lebih selesa dan luas berbanding sebelum ini.

Saya difahamkan ramai daripada mereka yang menerima rumah di sini adalah mangsa kebakaran tahun 1995 dahulu, ada kalangan mereka yang menumpang di rumah saudara-mara, ada yang tinggal di rumah atas laut. Syukur, dengan bantuan ini mereka dapat hidup dalam suasana lebih kondusif, selesa dan selamat.

Di sebelah petang, saya ke Harbour Square untuk bersantai dan beramah mesra bersama penduduk setempat. Ramai ada di sini, kawasan ini pun begitu indah dan cantik, sesuai untuk tempat berehat dan riadah buat semua golongan.

Dalam lawatan ini juga, saya telah mengumumkan bahawa kita akan memanjangkan landasan Lapangan Terbang Sandakan, supaya pesawat lebih besar boleh mendarat, meningkatkan jumlah pelancong ke sini.

Seterusnya saya ke Kota Kinabalu, bermula dengan pertemuan bersama kepimpinan dan ahli-ahli UMNO Sabah. Saya lihat mereka semua, nampak di raut wajah seolah-olah ingin memaklumkan kepada saya bahawa mereka telah bersedia untuk gerak gempur pada bila-bila masa. Bagus, kekalkan semangat ini!

Di sebelah pagi hari kedua lawatan kerja saya ke Sabah, saya melancarkan naik taraf Jalan Sindumin-Kampung Melalia, Lebuhraya Pan Borneo Sipitang. Insya-Allah, bila siap kelak akan lebih selesa, selamat dan mudah untuk perjalanan antara Sabah, Sarawak dan Brunei.

Tambahan kepada itu, projek ini adalah satu lagi tangkisan kepada tuduhan segelintir pihak yang tidak sudah-sudah menyatakan bahawa Malaysia adalah negara yang gagal. Kalau gagal tak mungkin dapat kita jayakan projek sebegini siap bebas tol, tarik pelaburan berbilion ringgit, terima lawatan Diraja dan berbagai lagi.

Di hari minggu ini saya ambil kesempatan juga untuk singgah di pasar mingguan yang terkenal di Putatan. Meriah, ramai betul di sini, sempat saya beli pisang goreng, jeruk bambangan, malah saya turut terima hadiah pokok Bunga Api daripada Puan Hasnah Abdullah. Terima kasih semuanya, amat saya hargai.

Alhamdulillah, lawatan kali ini saya dapat bertemu dengan pucuk pimpinan, penduduk tempatan, dan paling mengembirakan saya adalah projek-projek yang telah saya sampaikan dan lancarkan seperti PPR Lupak Meluas dan Jalan Sindumin-Kampung Melalia, Lebuhraya Pan Borneo Sipitang.

Projek-projek sebeginilah yang sentiasa Kerajaan Barisan Nasional usahakan, projek untuk rakyat, kepada rakyat, dan akan beri impak kepada kehidupan rakyat teramai.

Leave a Reply