BlogFeatured Articles

Lawatan Kerja Ke-49 Ke Sarawak

By Monday April 4th, 2016 No Comments

Hujung minggu lalu saya berada di Sarawak untuk lawatan kerja selama dua hari. Lawatan kali ini juga adalah lawatan ke-49 saya ke bumi kenyalang sejak kali pertama mengambil alih tampuk kepimpinan negara.

Alhamdulillah, dalam pertemuan saya dengan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem setibanya saya di sana, saya lihat beliau begitu bersemangat dan bersedia untuk menghadapi pilihan raya negeri tak lama lagi.

kerjaswk1

Saya menghadiri majlis bersama rakyat di Eastwood Valley, Miri pada malam itu dan program Sejiwa Senada bahagian Limbang keesokan harinya. Berdasarkan sambutan dan sokongan penduduk tempatan yang ada bersama dalam kedua-dua majlis ini, menambahkan keyakinan dan menguatkan lagi kepercayaan saya bahawa Barisan Nasional akan tetap menjadi pilihan rakyat dalam pilihan raya negeri akan datang dan terus memacu negeri Sarawak ke arah kejayaan, Insya-Allah.

kerjaswk2

kerjaswk3

Dalam majlis Sejiwa Senada ini juga, saya turut menyatakan bahawa kerajaan Malaysia akan berunding dengan kerajaan Brunei bagi memendekkan masa perjalanan darat antara Kuching dan Lawas.

Buat masa kini, tempoh perjalanan yang dijangka adalah 20 jam, tetapi kita akan cuba pendekkan kepada sekitar 12 hingga 14 jam.

Pada masa sama, dengan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, perjalanan tanpa henti antara Kuching dan Miri juga dapat dikurangkan daripada 14 jam kepada 9 jam.

Saya sedia maklum bahawa kediaman yang selesa, selamat dan mampu dimiliki adalah impian ramai rakyat Malaysia, tidak terkecuali di Sarawak.

Oleh yang demikian, kerajaan persekutuan melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) telah membina 3,600 rumah mampu milik di Sarawak sejak 2004, dan akan menambah lebih 5,000 lagi di Miri dan Kuching pada masa akan datang.

Projek Perumahan Vista Perdana 2 di Permyjaya yang saya lancarkan pada tengah hari Sabtu adalah sebahagian daripada inisiatif tersebut, dan suka saya nyatakan bahawa pembinaan ini juga mendapat sokongan menyeluruh kerajaan negeri melalui Kementerian Perumahan dan Pelancongan Sarawak.

Ini adalah contoh kepada pembangunan yang dapat kita capai melalui kerjasama erat antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri, dan Insya-Allah lebih banyak pembangunan akan dapat kita kecapi bersama sekiranya kesinambungan pemerintahan Barisan Nasional diteruskan di peringkat negeri dan pusat.

kerjaswk4

Saya merasmikan Pusat Transformasi Bandar atau UTC Miri di sebelah petang Sabtu, di mana saya dimaklumkan bahawa pada 10 hari pertama pembukaannya, UTC ini telah menerima lebih 17,000 pengunjung yang mengguna pakai perkhidmatan kerajaan tersedia di situ seperti membaharui lesen memandu dan pasport antarabangsa, mendaftar kelahiran, mendapatkan perkhidmatan kesihatan di Klinik 1Malaysia dan banyak lagi.

Konsep UTC ini adalah contoh terbaik inovasi dalam penyampaian perkhidmatan jabatan dan agensi-agensi kerajaan di bawah satu bumbung yang memberi kemudahan kepada rakyat keseluruhannya.

kerjaswk5

Pada pagi Ahad, saya menyaksikan pemeteraian perjanjian utama antara Petronas dan kerajaan negeri Sarawak berkaitan pembekalan gas asli untuk sektor tenaga dan bukan tenaga.

Dalam majlis sama, saya turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman kajian bersama Pelan Induk Petrokimia Sarawak serta pemeteraian Jualan Gas antara Sarawak Energy Berhad dan Petronas.

kerjaswk6

Saya ke Bintawa seterusnya untuk merasmikan festival keusahawanan Gabungan Rakan Entrepreneur Aspirasi Terhebat (GREAT) 2016.

Sebuah Bandar Usahawan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang pertama seumpamanya di Malaysia akan diwujudkan di sini, dibangunkan bersama oleh kerajaan negeri dan pusat.

kerjaswk7

Saya berkunjung ke pusat beli-belah The Springs kemudiannya untuk merasmikan satu Pameran Khas Memperingati Tun Abdul Razak.

Melihat gambar-gambar ini, teringat saya kepada Allahyarham Ayahanda. Terima kasih kepada penganjur Yayasan Cemerlang dan Jabatan Muzium Sarawak.

Saya harap melalui pameran ini yang akan berlangsung selama sebulan ini, dapat memberi peluang orang ramai melihat dan mengimbas kembali sumbangan Allahyarham Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-2 membawa pembangunan kepada Sarawak. Jika ada kelapangan, bolehlah kunjungi pameran ini.

kerjaswk8

Insya-Allah, saya bersama dengan para pemimpin Sarawak diketuai Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, akan meneruskan perjuangan membawa pembangunan dan kemajuan agar anak-anak dan bumi Sarawak tidak akan ketinggalan dan seiring maju bersama dalam arus pembangunan negara.

Leave a Reply