Blog

Lawatan Kedua Pusat Jagaan Al-Fikrah

By Friday April 22nd, 2016 No Comments

Pada 23 Mac yang lalu, saya telah meluangkan masa melawat Pusat Jagaan Al-Fikrah, Kajang. Ketika itu, saya mendapati pusat ini perlu dibaik pulih dan saya telah menyarankan penambahbaikan dilakukan segera bagi memberi keselesaan kepada kira-kira 70 orang penghuni pusat ini.

Hari ini, saya kembali untuk meninjau kemajuan status penambahbaikan pusat ini. Sukarelawan dari iM4U, Kolej Komuniti Hulu Langat (KK Hulu Langat) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut berada di sini bagi menjalankan aktiviti bersama penghuni. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah sesi fisioterapi dan penjagaan diri dengan memotong kuku dan rambut penghuni.

lawatan2alfikrah1

Saya kagum dan bangga melihat sukarelawan yang sudi hadir menyumbang tenaga dan masa mereka untuk membantu penghuni di sini. Keprihatinan sukarelawan ini amatlah bermakna dan menceriakan penghuni yang kebanyakannya sunyi dan memerlukan teman. Semoga usaha murni ini berterusan dan dapat disemai dalam kalangan lebih ramai anak muda di luar sana.

Saya berpuas hati melihat keadaan rumah yang jauh lebih baik daripada lawatan yang lalu. Dalam tempoh sebulan sahaja, pusat ini telah dilengkapi dengan turbin udara dan kipas baharu. Alat pendingin hawa telah diganti dan pendawaian elektrik dilakukan bagi menjamin keselesaan dan keselamatan mereka.

lawatan2alfikrah2

Selain itu, saya turut tertarik dengan keunikan pusat ini yang menjalankan aktiviti berkebun di halaman belakang rumah untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka. Saya sempat melawat kebun mereka, ‘Laman Al-Fikrah’ dan melihat pelbagai jenis ternakan seperti ayam, itik dan ikan keli serta pelbagai jenis sayuran. Kebun ini diuruskan sendiri oleh penghuni. Saya dapati ada juga sukarelawan yang turut mengambil inisiatif untuk membantu bercucuk tanam.

lawatan2alfikrah3

Insya-Allah, saya akan memastikan nasib warga Al-Fikrah terus terbela. Bantuan khas akan disalurkan selama setahun untuk tujuan kebajikan mereka. Syabas kepada semua sukarelawan dari iM4U, KK Hulu Langat dan UKM serta Majlis Perbandaran Kajang di atas komitmen terbaik yang diberikan bagi membaik pulih pusat penjagaan ini.

Leave a Reply