BlogFeatured Articles

Lawatan Ke Negeri Jelapang Padi 1 November 2017

By Wednesday November 1st, 2017 No Comments

Alhamdulillah, selesai lawatan saya ke Negeri Jelapang Padi semalam, di mana saya berpeluang jumpa beribu rakyat Kedah, daripada orang kampung, pesawah padi, nelayan, pekebun kecil getah, penjawat awam, sehinggalah ke pucuk kepimpinan negeri.

Saya mulakan lawatan saya dengan bersarapan bersama orang Kampung Seberang Kota Kuala Kedah di Warung Gulai Temenung Meletop, makan pulut sambal, apom lenggang, gulai ikan temenung dan pek nga. Masakan Kedah memang sempoi!

Seterusnya saya berjumpa sembang santai dengan golongan pesawah padi, nelayan dan pekebun kecil getah di Warung Pak Long di tepi jeti. Kami sembang mengenai #Bajet2018 baru-baru ini, di mana saya mengumumkan peruntukan paling besar untuk sektor pertanian iaitu sebanyak RM6.5 bilion! Anda boleh baca blog saya mengenai sesi tersebut di sini atau tonton video mengenainya di Facebook saya.

Saya teruskan sesi lawatan dengan perjumpaan bersama para penjawat awam Kedah pada tengah hari di Stadium Sultan Abdul Halim. Saya maklumkan mengenai pelbagai bantuan kepada penjawat awam yang telah diumumkan dalam #Bajet2018 seperti bantuan khas kewangan, kenaikan pangkat time-based, waktu kerja berperingkat, kenaikan pencen minimum dan macam-macam lagi.

Kesemua ini adalah penghargaan kepada para penjawat, dan saya tekankan juga bahawa ia boleh dilaksanakan kerana kita telah memimpin negara dengan bertanggungjawab dan berhemah.

#Bajet2018 Kerajaan Barisan Nasional adalah bajet yang inklusif, komprehensif dan ada sentuhannya buat semua golongan, sama ada pesawah padi, pekebun kecil, nelayan mahupun penjawat awam.

Ini bukan bajet sandiwara seperti bajet pembangkang, yang menjanjikan bulan dan bintang, hanyalah sandiwara politik semata-mata.

Insya-Allah, dengan #Bajet2018 sebagai asasnya, dan perancangan masa hadapan kita melalui TN50, saya yakin kita mampu mencapai cita menjadi antara 20 negara terbaik dunia.

Saya kemudian singgah melawat rumah Mansor Salleh dan Hazizun Yaakub yang berada dalam keadaan usang di Kampung Belukar. Insya-Allah, semoga bantuan yang diberi dapat bantu kehidupan mereka sekeluarga.

Di sebelah petang pula, saya ke Dataran KEDA untuk merasmikan satu lagi usaha Kerajaan untuk membantu rakyat, kali ini khusus buat kira-kira 440 ribu pekebun kecil dan penoreh getah di seluruh negara.

Setiap kali musim hujan, pekebun kecil dan penoreh getah tidak dapat turun menoreh dan hilang punca pendapatan mereka. Oleh itu, saya buat keputusan untuk memperkenalkan Bantuan Musim Tengkujuh, di mana Kerajaan memberi bantuan sebanyak RM200 sebulan bagi tempoh 3 bulan ketika musim tersebut.

Saya turut menerangkan kepada yang hadir mengenai bantuan lain yang telah diumumkan buat pekebun kecil dan penoreh getah sebanyak RM200 juta di dalam #Bajet2018, antaranya bantuan infrastruktur bagi membolehkan mereka beralih daripada cup lumps kepada penghasilan latex lantas meningkatkan lagi pendapatan mereka.

Sesungguhnya sebagai Kerajaan, kita perlu bersikap adil dan saksama, atau menggunakan istilah baru kontemporari iaitu kita perlu bersifat inklusif.

Dasar kita mesti terangkum dan merangkumi kelompok masyarakat pelbagai latar belakang, supaya perjuangan mensejahterakan rakyat dapat meresap hingga ke akar umbi di seluruh pelusuk negara.

Inilah prinsip yang saya pegang, bukan seperti pembangkang yang ternyata tidak mampu mentadbir negara, tidak pernah bersepakat dalam sebarang tindak-tanduk dan hanya bersandiwara dalam setiap usaha mereka.

Dalam hal GST misalnya, dah berapa kali mereka buat u-turn, ada yang kata ingin mansuh, kemudian tukar fikiran kata diteruskan tapi kadar sifar, kemudian sekali lagi kata ingin kembali semula kepada sistem SST yang tidak berkesan dan menguntungkan golongan tertentu.

Kemudian ada pula sebahagian daripada pembangkang yang jaja serata negara menyatakan GST-lah penyebab harga barangan naik.

Contoh harga kopi, beza harga pada tahun 1970-an, 80-an dan 90an. Masa itu tiada GST, tapi harga naik juga. Hakikatnya, harga barang naik bukan disebabkan oleh GST, tetapi banyak faktor lain seperti inflasi, permintaan, dan sebagainya.

GST ini adalah untuk pastikan sistem cukai yang lebih adil, dan melindungi mereka yang kurang bernasib baik dan membendung mereka yang kaya tapi lari bayar cukai.

Di Malaysia begitu banyak barang keperluan asas seperti makanan dan keperluan harian tiada GST atau GST sifar.

Malah Kerajaan terus beri subsidi bagi barang seperti gas memasak, tepung, minyak masak. Tahun ini saja Kerajaan belanja RM3.9 bilion untuk subsidi, selain BR1M yang kita teruskan sebagai subsidi yang disasar kepada mereka yang betul-betul perlu.

Lebih daripada itu, hasil GST inilah yang dikembalikan kepada pesawah padi, peladang, penternak, nelayan, pekebun kecil getah, penjawat awam, ketua-ketua kampung, tok batin, imam, bilal dan semua rakyat Malaysia.

Secara keseluruhannya, saya gembira dapat turun ke Kedah semalam, merasai denyut nadi rakyat, bertemu dan bersembang secara terus serta langsung, mendengar dari mulut mereka sendiri mengenai bantuan dan segala usaha Kerajaan.

Alhamdulillah, di setiap lokasi yang saya pergi, sambutan yang diberikan kepada saya cukup meriah. Maka benarlah seloka dalam loghat utara yang saya lafazkan sewaktu pembentangan #Bajet2018 Jumaat lepas.

“Oghang Kedah semua baik-baik dan ramah-ramah. Cuma sorang dua saja yang mudah lupa, biaq pi la depa.”

Kerajaan Barisan Nasional akan terus berkhidmat untuk rakyat, memperjuangkan kebajikan semua tanpa mengira latar belakang, agar kita dapat bersama seiring dan sejalan maju bersama Malaysia dan tidak ada yang tertinggal.

Leave a Reply