News_archive

Lagi Sokongan Terhadap Saranan Malaysia Mengenai Gerakan Kesederhanaan Peringkat Global

By Wednesday January 19th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) — Saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar diwujudkan satu gerakan kesederhanaan peringkat global disambut baik oleh sarjana pengajian agama.

Pensyarah dari Depauw University, Indianapolis di Amerika Syarikat, Prof Dr Jeffrey T. Kenney berkata gerakan sedemikian adalah penting dalam usaha mempromosikan keamanan dan keharmonian peringkat antarabangsa.

“Adalah sukar untuk mempertikaikan soal berkaitan keamanan antarabangsa, keamanan adalah perkara baik,” kata pensyarah Jabatan Pengajian Agama itu kepada Bernama, di sini pada Rabu.

Beliau ditemui selepas menyampaikan syarahan mengenai “Cabaran-cabaran dalam Pengajaran Islam di Universiti di Amerika’ yang dianjurkan Institut Pemikiran Islam dan Ketamadunan (Istac).

Ketika berucap pada perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York pada September lepas, Najib mencadangkan agar satu gerakan diwujudkan untuk mengumpulkan pendirian pemimpin dan ahli pemikir menentang fahaman pelampau.

Gesaan Malaysia itu mendapat sokongan banyak pihak termasuk Amerika Syarikat.

Mengenai ‘Islamophobia’, iaitu sikap prejudis atau ketakutan tidak berasas terhadap Islam, Kenney berkata sikap itu telah wujud di Amerika sebelum peristiwa 11 Sept, 2001.

“Jika bukan ‘Islamophobia’, apa yang wujud ketika itu ialah kejahilan dan perasaan wasangka terhadap Islam. Saya fikir ramai yang berwasangka terhadap perkara yang mereka tidak faham.

“Saya berpendapat (untuk menyelesaikannya) berinteraksi dan mempelajari tentang orang lain dan tempat lain adalah penting. Apabila mereka berusaha untuk berbuat demikian mereka akan dapati golongan lain itu tidaklah berbeza seperti yang disangkakan,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply