News_archive

Kunjungan Najib Ke Tokyo Tingkat Semangat Warga Jepun

By Tuesday May 24th, 2011 No Comments

TOKYO, 24 Mei (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka memperkukuhkan hubungan Malaysia dengan Jepun semasa lawatan rasmi beliau di sini ketika negara matahari terbit memulakan usaha pembangunan semula bahagian timur laut negara itu yang musnah akibat gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac lepas.

Kehadiran Perdana Menteri akan menjadi perangsang semangat rakyat negara itu yang masih bergelut dengan kejadian itu yang menjejaskan ratusan ribu orang dan meragut 15,000 nyawa dan 11,000 masih hilang, kata Duta Malaysia ke Jepun, Datuk Shaharuddin Md Som kepada wartawan Malaysia pada Selasa.

Najib, yang ditemani oleh isteri Datin Seri Rosmah Mansor, akan tiba di sini pada Rabu bagi memulakan lawatan dua hari ke Jepun.

Perdana Menteri akan mengambil peluang semasa menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Ke-17 Nikkei pada Khamis di sini bagi memberikan galakan dan sokongan kepada warga Jepun.

Rakyat Jepun telah mempamerkan ketabahan dan dispilin yang kuat setelah mereka secara beransur-ansur pulih daripada bencana yang melanda negara yang terkenal kerana kejituan, kecekapan dan daya teknologinya.

Walaupun Persidangan Tahunan Nikkei mengenai masa depan Asia biasanya berkisar mengenai isu ekonomi tegar, Shaharuddin berkata pada kali ini, ahli ekonomi, pemimpin politik dan ketua-ketua industri akan menumpukan perbincangan terhadap langkah khusus ekonomi serantau yang perlu ambil bagi menangani kejadian seperti gempa bumi, tsunami dan akibat isu nuklear.

“Kawasan-kawasan kerosakan akan mengambil masa bertahun-tahun untuk dibina semula,” kata beliau dan menjelaskan yang Jepun baru meluluskan belanjawan tambahan sebanyak US$489 bilion bagi pembinaan semula dengan lebih banyak belanjawan sedemikian akan diluluskan kemudian.

Beliau berkata tema bagi Persidangan Nikkei tahun ini mengenai Masa Depan Asia “Hubungan Kukuh dan Pertumbuhan yang Luas: Kunci kepada Mengatasi Cabaran Asia” relevan memandangkan kesukaran yang ditempuhi oleh Jepun dan cabaran yang dihadapi rantau ini berikutan peranan utama Jepun dalam ekonomi serantau dan global.

Beliau berkata Najib juga dijangka mengambil peluang ini untuk mengadakan perbincangan dengan ketua-ketua industri Jepun bagi meningkatkan hubungan perdagangan dua hala dan peluang-peluang yang ditawarkan di bawah Pelan Transformasi Ekonomi (ETP).

Beliau dijangka mengadakan mesyuarat meja bulat dengan Persatuan Ekonomi Jepun Malaysia (Jameca) yang akan diwakili pegawai kanan daripada syarikat-syarikat seperti Marubeni Corporation, Sumitomo Corporation dan Toshiba.

Tahun lepas, Jepun merupakan sumber pelaburan pembuatan kedua terbesar Malaysia selepas Amerika Syarikat dengan 61 projek pembuatan bernilai US$1.308 bilion atau RM4.03 bilion diluluskan dengan pelaburan terutamanya dalam logam bukan mineral, logam asas, barangan elektrik dan elektronik serta makanan.

Bagi perdagangan dua hala, ia naik sebanyak 35 peratus kepada US$41.24 bilion pada 2010 berbanding US$33.55 bilion setahun sebelumnya, yang menunjukkan Jepun sebagai rakan dagang ketiga paling penting dengan Malaysia.

Eksport dari Malaysia ke Jepun naik kepada US$20.58 bilion pada 2010 daripada US$15.14 bilion pada 2009, manakala Jepun terus menjadi pasaran pelancongan utama bagi Malaysia dengan 415,881 orang melawat Malaysia, meningkat 5.0 peratus daripada 395,746 pada 2009.

Bagaimanapun beliau berkata perdagangan dua hala terjejas dalam bidang seperti import auto pada suku kedua tahun ini disebabkan oleh bencana baru-baru ini tetapi dijangka pulih pada suku ketiga dan keempat apabila usaha pembinaan semula mula membawa kepada pengimportan bahan binaan.

Sumber : Bernama

Leave a Reply