News_archive

Kunjungan Najib bangkit nostalgia 46 tahun

By Friday July 1st, 2011 No Comments

KOTA KINABALU 30 Jun – Kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke rumah bekas Ketua Kampung Likas, Allahyarham Bakar Boso telah mengembalikan nostalgia yang amat bermakna kepada penduduk di situ terutamanya ahli keluarga Bakar sendiri.

Ini kerana 46 tahun lalu bapa Najib, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pernah berkunjung ke rumah sama dan bertemu Bakar bagi mendengar permasalahan penduduk kampung itu.

Najib meluangkan masa kira-kira setengah jam di rumah Bakar sambil beramah mesra dengan penduduk kampung selain sempat menjamah makanan yang dihidangkan kepadanya.

Menurut seorang penduduk, Surat Taham, 79, pada 1965 Tun Abdul Razak telah mengadakan lawatan mengejut dan berhenti di hadapan rumah Allahyarham Bakar.

“Kemudiannya Tun Razak telah bertanya apakah masalah penduduk di sini dan Bakar telah memberitahu mengenai masalah Masjid Likas yang sudah uzur.

“Jadi dengan serta-merta Tun Razak telah memberi peruntukan sebanyak RM25,000 bagi membaiki masjid Likas yang masih tersergam indah sehingga hari ini,” katanya.

Dalam pada itu menantu Allahyarham Bakar, Yahya Asai, 67, berkata, kunjungan Najib hari ini amat bermakna sekali kepada seluruh keluarganya.

Katanya, kunjungan Najib akan menjadi sejarah dan kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh keluarganya sampai bila-bila.

“Saya amat gembira dengan kunjungan ini dan menganggapnya sebagai satu nikmat dan rahmat Allah kepada kami sekeluarga serta penduduk Kampung Likas,” katanya.

Sementara itu rakan Bakar, Mimin Matamin, 79, menyifatkan kepimpinan yang ada pada Najib adalah seperti mana yang dimiliki oleh Tun Abdul Razak.

“Sifat prihatin, rendah diri dan sentiasa mengutamakan rakyat yang ada pada Tun Abdul Razak sememangnya dimiliki oleh Najib. Jadi kami akan terus memberi sokongan padu kepada beliau (Najib),” ujarnya.

Sumber : Utusan

Leave a Reply