News_archive

Kumpulan Pertama Sukarelawan Amerika Syarikat Akan Tiba Tahun Ini – Najib

By Thursday May 19th, 2011 No Comments

NEW YORK, May 19 (Bernama) — Amerika Syarikat telah bersetuju untuk menghidupkan semula Program Sukarelawan Amerika Syarikat (American Peace Corps) dan akan menghantar kumpulan pertama 30 sukarelawan ke Malaysia tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata kerajaan AS telah mengambil tindakan untuk melaksanakan program itu di bawah program pertukaran pelajar Fulbright untuk mengajar Bahasa Inggeris di kawasan luar bandar.

Bercakap kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja beliau selama tiga hari di sini, Najib berkata Duta Besar AS ke Malaysia Paul Jones memberitahu beliau bahawa program itu telah dihidupkan semula dan perancangan sedang dijalankan untuk melaksanakannya tahun ini.

“Mereka akan memulakannya dengan 30…tetapi saya juga meminta mereka untuk menghantar lebih ramai, jika boleh 100 atau 200, terutama ke sekolah di kawasan luar bandar,” katanya.

Bagaimanapun, Najib berkata ia bukan kumpulan sukarelawan serantau.

Saranan untuk menghidupkan semula program sukarelawan itu yang popular pada tahun 1960-an, dicetuskan semula oleh Najib ketika pertemuan dengan Obama pada Mesyuarat Asean-AS Kedua sempena Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) di New York September lepas.

Ia adalah program sukarelawan Amerika yang bertujuan menyediakan bantuan teknikal, membantu rakyat asing memahami budaya AS, dan membantu rakyat Amerika memahami budaya negara lain.

Perdana Menteri menyarankan agar Peace Corps dilaksanakan semula bagi membantu meningkatkan kecekapan berbahasa Inggeris di kalangan penduduk Asean apabila Presiden AS itu cuba memikirkan apakah inisiatif jangka pendek segera yang boleh dilaksanakan AS bagi menjalin hubungan akrab di rantau Asia Tenggara.

Ditanya mengenai keadaan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur semalam, Najib berkata beliau dimaklumkan bekas Perdana Menteri itu berada dalam keadaan stabil.

“Saya berdoa supaya Tun pulih kesihatannya dan dapat terus kembali seperti sedia kala dan terus menyumbang kepada negara.

Sumber : Bernama

Leave a Reply