News_archive

Kualiti Pendidikan Di Malaysia Penuhi Kehendak Dunia : Najib

By Monday June 15th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) — Malaysia mengamalkan dasar terbuka berhubung perkongsian antara institusi pendidikan tempatan dan antarabangsa selain berusaha menentukan mutu pendidikan yang disediakan memenuhi standard dunia, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata bahawa dalam soal itu, kerajaan menggalakkan institusi pendidikan tempatan menjalin perkongsian dengan institusi ternama di seberang laut.

“Kita perlu pastikan kita mempunyai fungsi kawal selia sewajarnya yang dapat menetapkan standard dan juga menentukan bahawa agensi yang terlibat akan memudahkan kelulusan bagi institusi bertaraf dunia yang mahu membuka kampus cawangan di sini.

“Kita mempunyai dasar terbuka dan saya diberitahu kini terdapat perbincangan aktif dengan sebuah institusi yang ingin membuka kampusnya di Wilayah Pembangunan Iskandar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Menteri-menteri Pendidikan Komanwel ke-17 di sini Selasa.

Beliau diminta mengulas mengenai langkah yang diambil untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah hab pendidikan.

Mengenai usaha menggalakkan pihak lain untuk memainkan peranan dalam sistem pendidikan Malaysia, Najib berkata bahawa kerajaan sentiasa berpendirian bahawa pendidikan merupakan tanggungjawab semua rakyat.

“Kita sentiasa melibatkan masyarakat dalam pengendalian sekolah awam kita dengan mendapatkan sokongan Persatuan Ibu Bapa dan Guru selain badan bukan kerajaan serta guru dan kesatuan mereka,” katanya.

Najib berkata parti-parti politik juga adalah sebahagian daripada pihak yang terlibat dalam pembangunan pendidikan.

Sumber : Bernama

Leave a Reply