News_archive

Kreatif, Inovatif Dalam Membantu Mereka Yang Memerlukan Penjagaan Kesihatan

By Monday December 13th, 2010 No Comments

KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata setiap rakyat hendaklah kreatif dan mencari penyelesaian inovatif dalam membantu orang lain yang memerlukan bantuan kewangan untuk keperluan asas penjagaan kesihatan mereka.

Perdana Menteri berkata tanggungjawab keperluan khasnya dalam penjagaan kesihatan janganlah semata-mata diletakkan kepada kerajaan tetapi memerlukan tambahan dalam apa sahaja orang lain ada.

Sambil mengalu-ngalukan inisiatif MCA ketika melancarkan Yayasan Perubatan 1MCA di sini malam ini, beliau berkata ia adalah usaha yang cemerlang oleh MCA sebagai parti politik pertama memulakan kerja murni ini bagi mereka yang memerlukan tanpa mengira etnik dan agama.

“Mereka (setiap orang) mempunyai akses dan boleh dipertimbangkan untuk bantuan ini di bawah Yayasan Perubatan 1MCA,” kata beliau.

Yayaan itu setakat ini telah memungut RM10 juta selepas pengumuman penubuhan yayasan tersebut pada September.

Menyifatkan inisiatif itu sebagai satu usaha pecah tanah oleh MCA dan berorientasikan rakyat, Najib berkata ia satu titik perhubungan kepelbagaian untuk rakyat di mana MCA menyediakan bantuan kewangan kepada mereka.

Beliau berkata ia bukan sahaja untuk penjagaan kesihatan tetapi juga keadilan sosial khasnya untuk rakyat di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Katanya mereka yang berpendapatan sederhana mungkin mampu membayar bayaran perubatan tetapi kerana kos penjagaan kesihatan, ia mungkin sesuatu yang berat kepadanya.

“Kita tahu kos penyediaan penjagaan kesihatan di negara ini meningkat 10 hingga 20 peratus setahun dan kita perlu memikirkan sama ada kita mampu untuk mengekalkannya atau memerlukan satu kaedah baru bagi menjamin perkhidmatan asas kesihatan kepada semua rakyat Malaysia,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata Malaysia telah melakukan yang terbaik dalam memastikan kualiti tinggi dalam penjagaan kesihatan untuk rakyatnya dan antara penyedia dalam bidang itu yang terbaik di dunia.

Najib berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak beberapa tahun lepas telah memperuntukkan ribuan juta ringgit bagi perkhidmatan kesihatan tempatan.

Bagi tempoh tahun lepas hingga tahun depan, ia dijangka membelanjakan kira-kira RM9 bilion untuk sektor penjagaan kesihatan, kata beliau.

“Malahan sejak 2004 nisbah populasi doktor telah menurun dari seorang doktor bagi 1,402 orang kepada seorang doktor kepada 905 orang, yang menunjukkan pembaikan yang memberangsangkan sebanyak 35 peratus. Kementerian Kesihatan mensasarkan seorang doktor bagi 400 orang pada 2020,” kata Perdana Menteri.

Turut hadir pada pelancaran itu ialah Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang juga bekas Menteri Kesihatan dan Timbalan Presiden MCA yang juga Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Sumber : Bernama

Leave a Reply