News_archive

Konvensyen BN Ditangguh Kepada 4 Dan 5 Dis Depan

By Thursday November 25th, 2010 No Comments

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Khamis memutuskan untuk menangguhkan konvensyen Barisan Nasional (BN) yang dijadual berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini kepada 4 dan 5 Dis depan.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam kenyataannya berkata penangguhan yang dibuat Perdana Menteri adalah bagi menghormati kematian bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Tun Dr Lim Chong Eu, yang meninggal dunia di kediamannya di Tanjung Bungah, semalam.

“Barisan Nasional amat prihatin dan turut berdukacita dengan kehilangan tokoh besar yang banyak melakar sumbangan terhadap perkembangan dan juga menjadi salah seorang antara pengasas BN dan merakamkan takziah kepada Toh Puan Goh Sing Yeng dan empat anaknya atas kehilangan tersebut,” katanya.

Beliau berkata penangguhan konvensyen itu membolehkan para pemimpin dan anggota komponen BN mengambil peluang memberi penghormatan kepada mendiang yang banyak berjasa seperti memoden dan merealisasikan pembinaan Jambatan Pulau Pinang dan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) sepanjang menjawat jawatan Ketua Menteri selama 21 tahun bermula 1969.

Konvensyen BN akan mengumpulkan seramai 2,100 perwakilan yang dijangka membincangkan mengenai 1Malaysia, ekonomi, pembangunan, pendidikan, kebajikan dan kedaulatan undang-undang.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang dijadualkan esok turut ditangguh kepada 30 Nov atas alasan yang sama.

Sumber : Bernama

Leave a Reply