News_archive

Konsep Wasatiyyah Satu Pendekatan Untuk Keamanan Sejagat : Najib

By Tuesday March 13th, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan memperjuangkan konsep Wasatiyyah atau kesederhanaan sebagai pendekatan yang boleh membawa kepada keamanan sejagat dan bukan sahaja untuk membina negara bangsa yang harmoni dan bersatu padu.

Perdana Menteri berkata pengenalan konsep itu di negara ini menjadikan Malaysia sebagai antara negara yang layak untuk memperkenalkannya kepada masyarakat dunia.

“Apabila kita meluahkan konsep Wasatiyyah ini dan berhasrat menjadikannya sebahagian daripada Pergerakan Moderat Global, dunia melihat Malaysia mungkin antara satu, dua negara yang layak memperjuangkan konsep ini seantero dunia,” katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) yang ingin tahu bagaimana dunia melihat pelaksanaan konsep Wasatiyyah di Malaysia.

Terdahulu semasa menjawab soalan asal Datuk Seri Hadi Awang (PAS-Marang), Najib berkata kerajaan memperkenalkan konsep Wasatiyyah selaras dengan wawasan kepimpinan negara yang mahu mewujudkan keseimbangan dalam membina perpaduan masyarakat berbilang bangsa, agama dan resam budaya.

Beliau berkata konsep itu adalah pendekatan yang tidak bersifat keterlaluan atau melampau tetapi tidak pula terlalu longgar atau terlalu mengambil ringan dalam sesuatu perkara.

“Ia bukan bermakna melakukan sesuatu yang kurang daripada ajaran Islam,” katanya.

Najib berkata konsep itu merupakan satu pendekatan yang dilaksanakan secara berterusan dalam dasar-dasar kerajaan sedia ada dan kehidupan seharian selaras dengan matlamat konsep itu yang ingin mewujudkan perpaduan serta keharmonian hidup ke arah menentukan kejayaan individu, keluarga, masyarakat dan negara.

Sumber : Bernama

Leave a Reply