Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Komitmen bersama selesai isu selatan Thai - Najib Razak
News_archive

Komitmen bersama selesai isu selatan Thai

By Tuesday June 9th, 2009 No Comments

LAWATAN rasmi pertama Perdana Menteri terbaru Thailand, Abhisit Vejjajiva semalam, singkat tetapi bermakna.

Bermakna kerana fokus diberikan kepada masalah utama – iaitu isu di selatan Thailand yang berlarutan sejak sekian lama – dengan memperbaharui komitmen untuk menyelesaikannya.

Malaysia telah diminta oleh Thailand untuk melanjutkan bantuan bagi pembinaan modal insan di kawasan itu terutamanya dalam menyediakan latihan vokasional dan biasiswa.

Abhisit turut memohon bantuan Malaysia untuk melanjutkan kurikulum agama Islamnya bagi sekolah aliran agama di sana.

Perdana Menteri Thailand itu sedar pelbagai peluang perlu diwujudkan kepada golongan mudanya sekiranya mahu mencapai keamanan, kestabilan dan keadilan di wilayah bergolak itu.

Beliau juga sedar pengwujudan peluang ekonomi yang seimbang di wilayah itu berbanding dengan wilayah-wilayah lain di Thailand akan menjamin kestabilan.

Mungkin dengan mendapat peluang ekonomi dan pendidikan setara, penduduk selatan Thailand tidak akan lagi berasa terabai atau tertindas sehingga terdorong mengangkat senjata untuk memperjuangkan wilayah autonomi.

Justeru komitmen Abhisit bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di akhir pertemuan kedua-dua pemimpin – untuk memajukan wilayah selatan Thailand itu cukup signifikan.

Malaysia memang selama ini pun komited membantu memajukan wilayah itu!

Walaupun pemimpin negara di utara Semenanjung itu silih berganti, komitmen kerajaan tetap sama.

Dasar ‘memakmurkan jiran’ yang menjadi prinsip hubungan luar negara telah dan terus menjadi amalan Malaysia.

Bagi Malaysia, kemakmuran negara perlu dikongsi bersama negara jiran tetangga kerana manfaatnya akan lebih melimpah ruah.

Sebaliknya jika hanya Malaysia yang makmur, bahana dari sempadan akan mengalir ke bumi ini.

Penduduk Yala, Narathiwat dan Pattani, yang majoritinya beragama Islam, kebanyakan mereka mempunyai saudara-mara di sebelah sempadan Malaysia baik di daerah Padang Besar, Wang Kelian atau Rantau Panjang.

Malah faktor itu jugalah yang menjadikan isu dwi-kerakyatan, masalah yang masih membelenggu kedua-dua negara.

Dan sebarang tindakan kerajaan Thailand terhadap penduduk di sana, kesannya langsung dirasai di Malaysia dan tidak mustahil jika tidak ditangani sebaik-baiknya boleh mengancam hubungan dua hala.

Sehubungan itu, keputusan Abhisit yang baru enam bulan mengambil alih tampuk kuasa untuk lebih awal menangani isu wilayah selatan negaranya, merupakan langkah yang amat tepat sekali.

Usaha perlu diambil untuk membendung sebarang risiko mahupun menghapuskan apa jua punca keganasan dari wilayah tersebut.

Pengakuan terbuka Abhisit tentang ‘kesilapan-kesilapan dasar’ pentadbiran kerajaan negara itu berhubung masalah selatan Thailand menunjukkan ketelusan kerajaan beliau untuk memperbetulkan keadaan.

Janji beliau untuk mengambil pendekatan aman dan perdamaian dalam menyelesaikan masalah yang menyelubungi penduduk di kawasan utara Semenanjung itu amat dialu-alukan.

Rundingan adalah sebaik-baik jalan penyelesaian pertikaian, bukannya melalui muncung senjata atau pertumpahan darah.

Menjadi harapan Malaysia agar komitmen beliau itu didukung secara berterusan – oleh kerajaan Thailand, tidak kira siapa jua yang menerajuinya.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply