News_archive

Kini Najib Mempunyai Facebook Bahasa Cina Ah Jib Gor

By Tuesday January 17th, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) — Perhatian semua pengguna Facebook. Kini ada kawan baru dan nama beliau ialah “Ah Jib Gor”.

Ia merupakan facebook baru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam bahasa Mandarin sebagai satu lagi platform untuk mendekati masyarakat dengan lebih meluas menerusi laman sosial.

“Ah Jib Gor” yang bermaksud “Abang Najib” dalam bahasa Cina, diwujudkan untuk memberikan satu lagi forum kepada pengguna media sosial untuk mengenali Perdana Menteri sebagai insan biasa dan bukannya sebagai perdana menteri semata-mata.

“Ah Jib Gor mula beroperasi secara online semalam (Isnin). Ini akan menjadi pelengkap atau sisipan kepada laman media sosial sedia ada beliau. Kami tahu ada masyarakat Cina yang tahu bahasa Inggeris dan juga bahasa Cina. Kami mahu menjadi lebih efektif dan interaktif dalam berinteraksi dengan pelbagai masyarakat di negara ini,” kata setiausaha politik perdana menteri Wong Nai Chee.

Beliau berkata Facebook dalam bahasa Cina ini bukan berunsurkan politik dan hanya menyentuh mengenai hobi Najib dan perkara-perkara yang tidak ada kaitan dengan politik kerana tidak semua pengguna Facebook berminat dengan politik.

“Beliau sudah mempunyai media sosial lain yang memperkatakan mengenai politik. Beliau tidak akan mengambil inisiatif untuk memuatkan berita mengenai politik di FB bahasa Cina walaupun beliau tidak dapat menahan orang daripada memperkatakan perkara berkaitan politik di media sosial ini,” katanya.

Perdana Menteri mempunyai akaun Facebook dan Twitter di bawah namanya yang telah menerima sejumlah besar pengikut.

Wong menjelaskan nama “Ah Jib Gor” dipilih kerana ia merupakan nama popular yang diberikan kepada Perdana Menteri oleh pengguna media sosial dan oleh sebahagian besar masyarakat Cina sebelum Facebook bahasa Cina diwujudkan.

“Kami berharap dengan adanya facebook ini, sebahagian besar masyarakat Cina di negara ini akan dapat mengenali diri perdana menteri sebagai seorang insan biasa,” katanya.

Sejak versi bahasa Cina itu dilancarkan semalam dan sehingga pukul 4.30 petang hari ini, “Ah Jib Gor” telah menarik 1,722 pengikut.

Sumber : Bernama

Leave a Reply