News_archive

Khazanah Dan Temasek Majukan Tanah Di Singapura Dan Iskandar Malaysia

By Monday June 27th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) — Khazanah Nasional Bhd dan Temasek Holdings (Private) Limited akan menubuhkan syarikat usaha sama, M+S Pte Ltd dan Pulau Indah Ventures Sdn Bhd, untuk memajukan tanah di Singapura dan melaksanakan projek di Iskandar Malaysia di Johor.

Pembangunan bersama ini disokong oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya di Singapura Lee Hsien Loong, menerusi kenyataan bersama pada 24 Mei, 2010, 22 Jun, 2010, 20 September, 2010 dan 27 Jun, 2011, kata Khazanah dan Temasek dalam satu kenyataan.

Menerusi usaha sama 60:40 oleh Khazanah dan Temasek, M+S akan membangunkan empat kawasan di Marina South dan dua kawasan di Ophir Rochor, dengan pembangunan bersepadu.

Anak syarikat milik tidak langsung UEM Land Holdings Bhd, syarikat pemaju hartanah dalam portfolio Khazanah, dan anak syarikat milik tidak langsung Mapletree Investments Pte Ltd (Mapletree), sebuah syarikat dalam portfolio Temasek, dilantik untuk memantau pembangunan dan pemasaran projek di Marina South, kata kenyataan itu.

Bagi Ophir-Rochor, UEM Land dan anak syarikat milik tidak langsung CapitaLand Limited, sebuah lagi syarikat dalam portfolio Temasek, pula dilantik untuk memantau pembangunan dan pemasaran projek itu.

Khazanah dan Temasek masing-masing komited terhadap kejayaan pengkomersilan kawasan berkenaan yang akan meliputi komponen pejabat, kediaman, hotel dan runcit.

Nilai pembangunan kasar projek itu dengan kawasan lantai 501,020 meter persegi, dianggarkan S$11 bilion (RM27 bilion), tertakluk kepada pelan reka bentuk dan pembangunan.

Sementara itu, Pulau Indah, usaha sama 50:50 antara Khazanah dan Temasik akan memajukan projek di Iskandar Malaysia, Johor.

Khazanah dan Temasek telah menjalin usaha sama sejak Mei untuk mengenal pasti tapak yang sesuai di Iskandar Malaysia bagi pembangunan komersil bersama itu.

Dua tapak, sebuah di Medini Utara dan Kelompok Warisan di Medini Central, sudah disahkan, kata mereka.

Pulau Indah merancang membangunkan apartmen perkhidmatan, pusat latihan korporat serta pusat komersil, runcit serta kediaman di kawasan terbabit.

Khazanah dan Temasek kini berbincang dan berunding dengan rakan dan operator berpotensi untuk pelbagai komponen bagi memaksimumkan potensi komersil di lokasi itu.

Nilai pembangunan kasar projek Iskandar dengan keluasan lantai 1,365,675 meter persegi itu dianggarkan RM3 bilion,

Perancangan dan reka bentuk projek itu sudah dimulakan pada suku pertama tahun ini.

Menerusi perjanjian yang dimeteri hari ini itu, projek akan memasuki peringkat reka bentuk dan pelaksanaan, dan penyerahan fasa awal dalam tempoh lima tahun.

Pengarah Urusan Khazanah Tan Sri Azman Mokhtar berkata: “Kami bangga melaksanakan projek menarik ini di Singapura dan Malaysia bersama rakan kami dari Singapura, Temasek Holdings.”

Pembangunan di Iskandar bersama Temasek merupakan pelengkap, dan meningkatkan momentum projek sedia ada dan sedang dirancang di Iskandar Malaysia, yang sudah disertai Khazanah sejak 2006.

“Kedua-dua projek ini merupakan pelaburan pembangunan bersama pertama dengan Temasek dan kami mengharapkan perkongsian yang kukuh dan bermakna di Singapura dan Iskandar Malaysia,” kata Azman.

Ho Ching, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Temasek, berkata: Pasukan Khazanah dan Temasek bekerja rapat untuk membangun dan memberi idea terbaik untuk projek bersama ini.”

“Kami beruntung kerana mempunyai pakar dan mendapat sokongan profesional syarikat hartanah utama seperti UEM Land dari Malaysia serta Mapletree dan CapitaLand dari Singapura,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply