Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Kewangan Mikro Islam Beri Peluang Bangunkan Produk Beretika Dan Menguntungkan, Kata Najib - Najib Razak
News_archive

Kewangan Mikro Islam Beri Peluang Bangunkan Produk Beretika Dan Menguntungkan, Kata Najib

By Thursday April 26th, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) — Kewangan mikro Islam membuka peluang untuk kewangan Islam membangunkan produk yang menguntungkan, malah beretika, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata pada masa yang sama ia mampu menyokong aktiviti keusahawanan sosial, dan pada masa yang sama melabur dalam dana sosial dalam jangka panjang.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kewangan mikro Islam merupakan kewangan yang terangkum, keusahawanan dan perkongsian risiko menerusi usaha sama kewangan, satu pendekatan yang tidak dimiliki oleh kewangan mikro konvensional.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar pada Forum Penyumbang Dunia 2012 di sini hari ini.

“Sejak tahun-tahun kebelakangan ini, beberapa institusi kewangan mikro menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan Islam berpendapatan rendah dan memenuhi keperluan mereka untuk mendapatkan produk berlandaskan prinsip kewangan Islam.

“Ini menjurus kepada kemunculan mikro kewangan Islam sebagai pasaran baharu khusus yang kita perlu memanfaatkannya,” kata Najib.

Perdana Menteri berkata walaupun kemajuan ketara sudah dicapai, institusi kewangan Islam belum berjaya menjadikan perkhidmatan kewangan itu dapat diakses secara meluas oleh rakyat miskin, satu usaha yang mampu membasmi kemiskinan dengan ketara di seluruh dunia.

Najib berkata nadi kewangan Islam ialah semangat dermawan tulen yang terserlah menerusi memberi serta amalan perniagaan, dan pada masa yang sama mendukung potensi transformasi kehidupan berbilion penduduk miskin di dunia.

“Agak mudah, inovasi kewangan yang dijuruskan untuk mengupaya bukan mendominasi penduduk, boleh merevolusikan dunia kita. Oleh itu tumpuan utama kewangan Islam ialah kedudukan nilai terasnya dan bukan semata-mata menambah aset,” kata Najib.

Beliau berkata kerajaan tidak dapat secara bersendirian merealisasikan perubahan sosial secara meluas yang diperlukan, memandangkan ia memerlukan sokongan daripada masyarakat awam dan sektor swasta, dengan kewangan Islam mempunyai peranan penting dalam menjayakan usaha ini.

Najib yang juga Pemangku Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat berkata dalam tempoh pemulihan ekonomi ini, sokongan sektor swasta untuk projek sangat diperlukan dalam menangani kesan buruk krisis global ke atas masyarakat miskin.

“Sebagai sebahagian daripada proses itu, saya mahu melihat transformasi Malaysia dalam pemberian berasaskan kepercayaan sebagai ejen perubahan sosial, memandangkan hanya sistem pengurusan zakat yang cekap serta pendekatan pengagihan yang strategik, merupakan jentera yang tepat untuk mengubah penerima menjadi pemberi,” katanya.

Perdana Menteri berkata sistem pengurusan zakat dan awqaf di Malaysia tertakluk kepada penambahbaikan berterusan, dan masih banyak yang boleh dilakukan untuknya.

“Saya gembira kerana forum ini turut meneliti zakat, awqaf dan kewangan mikro Islam sebagai jentera berpotensi untuk meningkatkan semangat dermawan serta melabur dalam dunia Islam,” katanya.

Forum Penyumbang Dunia ialah acara tahunan anjuran Kongres Dermawan Islam bagi menggalakkan sumbangan berkesan dan menjalin usaha sama strategik bagi pelaburan sosial berimpak tinggi.

Najib berkata dermawan Islam berhadapan cabaran untuk membangunkan model baharu yang secara serentak memperhalusi yang lama dan membangunkan era kebangkitan dan kemajuan sosial yang mantap.

Beliau berkata konflik berpanjangan serta ekstrimis mewujudkan ruang untuk sesetengah pihak mempersoal agama dan mengambarkan kedudukan negatif mengenai Islam.

“Malangnya dermawan Islam tidak terlepas daripada prasangka, dan tekanan dan publisit negatif ini, yang ada kalanya mengehadkan keupayaan untuk menangani cabaran global dan pada masa yang sama menjejaskan penyumbang baharu daripada memberi sumbangan dan menyukarkan penyumbang sedia ada untuk terus beramal.

“Sudah sampai masanya untuk menilai cara kita memberi dan pada masa yang sama memudahkan usaha sama strategik dalam kalangan penyumbang yang berfikiran yang sama,” katanya.

Perdana Menteri berharap Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global boleh memain peranan penting dalam memperkukuh toleransi, pesefahaman dan pada masa yang sama menggalakkan budaya menyumbang secara lebih meluas.

Sumber : Bernama

Leave a Reply