News_archive

Keunikan Kaum Satu Kekuatan Transformasi Negara – Najib

By Saturday May 23rd, 2009 No Comments

PEKAN, 23 Mei (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keunikan Malaysia dengan berbilang kaum perlu dilihat sebagai satu kekuatan dalam usaha mentransformasikan negara ini sebagai negara yang mempunyai pendapatan tinggi.

Perdana Menteri berkata semua kaum di negara ini perlu bersatu di bawah konsep 1Malaysia jika mahu meletakkan negara di tahap yang lebih tinggi lagi di persada antarabangsa.

“Keunikan ini boleh diterjemahkan kepada kekuatan mengubah negara yang mempunyai pendapatan tinggi…inilah cabaran kita semua,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam Gabungan Persatuan Cina Pahang di sini, malam ini.

Katanya keunikan masyarakat Malaysia juga perlu dilihat sebagai satu kelebihan dalam usaha menarik lebih ramai pelabur asing ke negara ini.

Antara yang hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat, Presiden Gerakan Tan Sri Koh Tsu Koon dan Presiden Gabungan Persatuan Cina Pahang Tan Sri Pheng Yin Huah.

Najib berkata keunikan masyarakat Malaysia juga perlu dilihat sebagai satu kelebihan dalam usaha menarik lebih banyak pelabur luar ke negara ini.

“Kita perlu lihat potensi dan peluang yang ada, kepelbagaian kaum ini dilihat mampu menarik pelabur dari Cina, Asean dan juga negara Timur Tengah,” katanya.

Perdana Menteri berkata apa yang penting ialah semua kaum perlu bersatu dalam usaha menggembeleng tenaga secara strategik untuk membawa satu lagi perubahan yang lebih besar kepada negara.

“Kerajaan Perikatan dan Barisan Nasional sebelum ini telah berjaya menuntut kemerdekaan, kemudian berlaku tranformasi pertama daripada negara pertanian ke sebuah negara industri.

“Selepas industri kita mengubah kepada sektor perkhidmatan dan seterusnya ekonomi berasaskan inovatif dan cabaran seterusnya ialah negara berpendapatan tinggi, inilah cabaran kita semua,” katanya.

Dalam ucapannya itu, Najib turut berharap Gabungan Persatuan Cina Pahang yang mempunyai keanggotaan lebih 100,000 ahli itu turut membantu kerajaan dalam usaha membina sebuah negara yang lebih makmur untuk kepentingan semua.

“Kalau kita satukan kekuatan kita, satukan peranan dan hala tuju kita, maka ia akan jadi satu kekuatan dalam proses membina sebuah negara tercinta,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply