News_archive

Ketepi Politik Jumud : TPM

By Wednesday March 25th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR: Semua pihak perlu mengetepikan kepentingan politik jumud dalam usaha membantu memulihkan ekonomi negara yang menerima kesan langsung daripada kegawatan ekonomi global sekarang, kata Datuk Seri Najib Razak.

??Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, berkata Malaysia tidak boleh pulih daripada kesan kegawatan itu jika rakyat tiada keyakinan, selain tidak boleh maju jika ekonomi dunia terus merudum.

“Prasyarat kepada pemulihan ekonomi adalah kestabilan politik dan keutuhan institusi negara.

Dalam hal ini janganlah kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar. ??“Marilah kita bersama-sama meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi kepentingan politik yang jumud.

Dengan segala cabaran nasional dan global sedang dan akan dihadapi, kita sudah tiada masa,” katanya.

??Beliau yang juga juga Timbalan Presiden Umno berkata demikian ketika merasmikan serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno, malam tadi.

Najib berkata, krisis ekonomi melanda sekarang adalah di luar dugaan, malah terburuk sejak kemelut kemelesetan ekonomi dunia 1930-an yang memerlukan semua pihak di negara ini berpaut pada realiti dan tidak sekali-kali leka dibuai rasa selamat.

??“Ekonomi Malaysia hari ini amat berbeza dengan 50 tahun lalu. Hari ini, Malaysia antara 20 negara dagang terbesar di dunia dengan nilai dagangan antarabangsa melebihi RM1 trilion. ??

“Tidak dapat dielakkan, apa yang berlaku di persekitaran ekonomi dunia memberi kesan langsung terhadap ekonomi kita kerana kemakmuran kita nikmati hari ini berasaskan kemakmuran global,” katanya.

??Timbalan Perdana Menteri juga meminta semua pihak supaya menghentikan polemik yang tidak bermanfaat dan segala bentuk kerenah politik menjengkelkan berhubung isu bahasa Melayu.

“Kedaulatan bahasa Melayu akan tetap kita pertahankan walau apapun terjadi. Kelangsungan bahasa bergantung penuh kepada kemapanan bangsanya, hanya bangsa yang maju akan menjulang martabat bangsa, budaya dan sistem nilainya.

??“Pokok pangkalnya, sesuatu bangsa itu perlu diperteguhkan dan diperkasakan terlebih dulu dan ini memerlukan penguasaan ilmu dan pengetahuan yang hari ini kebanyakannya didasari bahasa Inggeris,” katanya.

??Justeru, katanya generasi muda bukan saja perlu menguasai bahasa Inggeris, tetapi juga sekurang-kurangnya tiga bahasa utama dalam usaha menakluk pasaran dunia. ?

“Usah bimbang… mempelajari pelbagai bahasa tidak melunturkan jati diri kita sebagai orang Melayu sebaliknya akan lebih mengukuhkan keyakinan diri bangsa untuk berhadapan dengan era globalisasi,” katanya.

??Dalam ucapannya, Najib turut mengingatkan semua pihak jangan memutarbelitkan fakta sejarah mengenai tindakan Umno meminda undang-undang berkaitan Raja-Raja.

??Katanya, tindakan itu dibuat dengan hasrat murni untuk tetap mengekalkan dan melindungi kemuliaan Raja dalam usaha memperteguhkan doktrin pengasingan kuasa yang mendasari sebuah kerajaan demokrasi.

??“Saya mengingatkan semua orang Melayu, janganlah nanti sudah terhantuk baru terngadah. Pada pihak telunjuknya lurus tetapi kelingking berkait, janganlah pagi sembah setia, petangnya sembah derhaka,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply