News_archive

Ketepatan Mesti Jadi Cahaya Panduan Wartawan Tulen – Najib

By Tuesday July 5th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) — Ketepatan mesti menjadi cahaya panduan bagi wartawan tulen sekalipun internet menawarkan peluang begitu luas untuk komunikasi dan perkongsian maklumat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata walaupun dengan internet kini semakin mudah menyalurkan segera sesuatu berita, ia juga semakin memudahkan pembaca mengetahui sama ada seseorang wartawan itu menghasilkan berita yang betul.

“Ini membolehkan mereka berterusasn meneliti fakta, menganalisis dakwaan dan memutuskan sendiri tentang kebenaran sesuatu perkara.

“Dan sebaik saja pembaca anda memutuskan bahawa pemberitaan anda tidak tepat dan tidak boleh dipercayai, anda akan dapati dengan begitu cepat mereka terus berhenti membaca berita anda,” kata beliau pada majlis Anugerah Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC)-Naza 2011 di sini Isnin malam.

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, bekas Presiden NPC Datuk Ahiruddin Atan, presiden NPC yang baru dipilih Mokhtar Hussein yang juga Pengarang Berita Perkhidmatan Berita Am Bernama, dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Bersama yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin.

Najib berkata aduan mengenai ketepatan media bukan baru tetapi kemajuan dalam bidang teknologi bererti imbangan antara mendapatkannya dengan pantas dan menentukan ia betul, satu tekanan yang telah wujud sekian lama dalam bidang kewartawanan, semakin beranjak ke arah kepantasan daripada ketepatan.

Beliau berkata pada masa lalu, logistik pengeluaran dan pengedaran akhbar memberi masa kepada pemberita berfikir dengan hati-hati dan mempastikan hujahan mereka sebelum menulis berita.

“Hari ini, dengan berjuta-juta rakyat Malaysia menggunakan Twitter, adalah berkemungkinan bagi berita tersebar dari Perlis ke Pontian dalam masa lebih sedikit daripada menaip 140 huruf ke dalam sebuah iPhone atau BlackBerry.

“Dan pada era di mana kebenaran ditakrifkan oleh suntingan terbaru ke dalam Wikipedia sebuah berita yang tidak tepat boleh membawa kesan, pengaruhnya kekal di ceruk gelap alam siber lama selepas fakta sudah menjelma,” kata beliau.

Najib berkata media dunia boleh mengambil beberapa pelajaran daripada wartawan Malaysia yang berbeza daripada mereka kerana media Malaysia lebih sensitif dan bertimbang rasa. Anda terbitkan berita yang penting, bukan gosip mengenai skandal seks selebriti.

Anda faham bagaimana membongkar sesuatu berita menerusi usaha gigih kewartawanan daripada menyelongkar bakul sampah dan mencuri-rakam panggilan telefon peribadi.

“Dan sementara anda tidak pernah takut untuk mengkritik di mana kritikan itu perlu, anda tidak menggunakan kedudukan anda untuk melancarkan dendam peribadi terhadap mereka yang tidak sehaluan dengan anda,” kata beliau.

Najib berkata bila beliau ke luar negeri dan bercakap kepada khalayak asing, beliau sering memberitahu mereka, bagaimana Malaysia begitu berjaya kerana kepelbagaian kita, dan untuk itu pujian harus diberikan kepada media.

“Kebolehan anda meliputi isu-isu sensitif dengan cara yang berhemat dan seimbang menunjukkan tahap tanggungjawab sosial yang tinggi dan ia satu sanjungan kepada profesionalisme anda.

“Anda membawa keragaman dan keceriaan negara ini kepada rakyat Malaysia, anda pastikan setiap orang memahami isu yang penting, dan kita berada di sini malam ini untuk mengiktirafnya,” kata beliau.

Sumber : Bernama

Leave a Reply