News_archive

Kesungguhan politik Najib

By Thursday April 9th, 2009 No Comments

TIGA dekad menyusun langkah, pendakian Datuk Seri Najib Tun Razak dalam dunia politik akhirnya membawa beliau ke kemuncak. Pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia keenam tanggal 3 April lalu meneruskan legasi bapanya, Tun Abdul Razak Hussein sebagai pemimpin negara. Pun begitu, pendakian Najib tidak bermula di atas dulang emas. Benar pada awal kemunculannya di pentas politik, Najib menumpang tuah nama Tun Abdul Razak. Laluan Najib untuk bertapak dalam dunia politik terbuka setelah Tun Abdul Razak meninggal dunia pada 14 Januari 1976. Ketika itu, Najib yang baru berusia 22 tahun tujuh bulan dipilih untuk menggantikan bapanya sebagai Ahli Parlimen Pekan. Namun politik bukanlah sesuatu yang mahu diceburi oleh Najib, sekurang-kurangnya ketika bapanya masih lagi menjadi Perdana Menteri. Bagaimanapun, takdir menentukan segala. Najib akur menggalas amanah yang diberikan dengan harapan untuk meneruskan apa yang telah dirintis oleh bapanya. Dengan tekad itu, Najib membuktikan kehadirannya dalam politik adalah berlandaskan kepada kesungguhan, kebijaksanaan dan kesabaran. Kisah sempurna pendakian Najib ke mercu kuasa itu antara intipati yang melatari buku tulisan Chamil Wariya ini. Buku setebal 268 muka surat ini juga merupakan dedikasi ketiga Chamil terhadap Najib selepas buku pertama, Najib Razak 30 Tahun Dalam Politik diterbitkan pada Februari 2006. Ia disusuli dengan edisi bahasa Inggeris berjudul In His Own Rights, Najib Razak and Malaysian Politics. Sebagai bekas wartawan yang pernah bertugas dengan pelbagai organisasi media, Chamil berada dalam dimensi masa dan ruang yang sangat dekat untuk mengikuti perkembangan politik Najib. Bagaimanapun, permulaan awal kerjaya Najib dalam dunia politik tidak begitu diamati dengan rapi oleh Chamil. Ini kerana sewaktu Najib dipilih sebagai ahli Parlimen Pekan pada 1976, Chamil berada di London kerana bertugas dengan British Broadcasting Corporation (BBC) di London. Sehinggalah pada 1986 iaitu ketika Najib merupakan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, sementara Chamil bertugas sebagai wartawan rencana di Utusan Malaysia selepas pulang dari London dua tahun sebelumnya, hubungan Najib dan Chamil mula terbina. Chamil juga beberapa kali berpeluang membuat liputan mengikuti rombongan rasmi Najib ke luar negara. Kesempatan itu menukar hubungan yang pada mulanya terbina atas tuntutan kerjaya, kepada sebuah jalinan yang lebih mesra, meskipun masih dalam konteks berkerja. Keakraban itu juga menjadikan buku Najib Razak, Pendakian Ke Puncak Kuasa ini berbeza daripada kebanyakan buku biografi lain. Chamil tidak hanya menghidangkan fakta sejarah, latar belakang atau pencapaian serta kejayaan Najib semata-mata. Sebaliknya membawa pembaca mengimbau dan berkongsi pengalamannya mengenali Najib dari kaca mata seorang wartawan. Pastinya dengan kelebihan itu, Chamil mempunyai banyak catatan mengenai Najib yang mungkin tidak begitu diketahui oleh umum sebelum ini. Antaranya, Chamil menyentuh mengenai Najib yang pernah hampir-hampir ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1987. Semuanya kerana kelantangan beliau mempertahankan ketuanan Melayu. Ketika itu, dalam semangat yang berkobar-kobar selepas mengambil alih kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO, Najib dan beberapa pemimpin Pemuda lain menggerakkan satu perhimpunan raksasa. Tujuannya untuk menzahirkan penentangan kepada pihak yang mencabar hak dan keistimewaan kaum bumiputera. Meskipun dalam hujan lebat, perhimpunan itu berjaya menarik kira-kira 20,000 anggota Pemuda yang berhimpun menyuarakan bantahan di Padang TPCA, berdekatan Kampung Baru, Kuala Lumpur. Pada tahun sama, Najib turut tersepit antara menyatakan sokongan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah dalam perebutan kuasa yang sangat getir dan sengit dalam sejarah UMNO. Pendirian tidak memihak kepada sesiapa kerana menganggap kedua-dua tokoh itu sebagai mentor, menyelamatkan Najib daripada perebutan antara Team A (Tun Dr. Mahathir) dan Team B (Tengku Razaleigh). Ia juga merupakan satu titik perubahan yang sangat besar dalam kerjaya politik yang semakin menyinar apabila dilantik mengetuai Kementerian Belia dan Sukan. Sejak itu, pendakian Najib menuju ke puncak kuasa berlangsung sangat mudah. Najib bersilih ganti mengetuai kementerian utama iaitu Pertahanan, Pendidikan dan Kewangan. Kesemua portfolio dalam kerajaan itu memberi petunjuk jelas bahawa beliau sememangnya sedang dibentuk untuk menjadi Perdana Menteri. Bayangan itu semakin jelas saat Najib dilantik sebagai orang nombor dua di bawah kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Walaupun baru berusia 50 tahun sewaktu dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri kesembilan, namun Najib melangkah sebagai ahli politik dengan pengalaman dan ilmu yang penuh di dada. Tempoh 28 tahun terbabit dalam dunia politik tidak mengalpakan Najib yang sentiasa menginsafi bahawa bukan sesuatu yang mudah untuk bergelar pemimpin kanan negara. Malah, ia turut membentuk kematangan politik Najib sebagai seorang pembantu yang setia kepada ketuanya, Abdullah. Kerana itu juga, Najib tidak terikut-ikut dengan rentak segelintir pihak di dalam UMNO yang mengkritik pentadbiran Abdullah selepas kekalahan teruk BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-12.

Sumber : Utusan

Leave a Reply