News_archive

Kesederhanaan Ada Potensi Menjamin Keamanan Dan Keharmonian, Kata Najib

By Thursday December 22nd, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dengan mengambil kira landskap pembangunan sosial, politik dan ekonomi masa kini, maka tidaklah sukar untuk melihat bahawa kesederhanaan ada potensi untuk menjamin satu tahap keamanan dan keharmonian.

Beliau berkata ekstremisme, seperti yang telah dilihat ramai, adalah satu pemikiran yang tidak boleh diterima dan membawa pelbagai risiko yang boleh mengakibatkan kemusnahan berkekalan kepada negara.

Menzahirkan pandangan beliau dalam entri terbarunya dalam blog beliau 1Malaysia.com.my, Perdana Menteri percaya dunia dalam abad ke-21 seolah-olah berada dalam keadaan yang tidak henti-henti berubah di mana perubahan radikal boleh berlaku pada bila-bila masa, tanpa sebarang amaran dan di luar jangkaan.

Beliau berkata keadaan itu telah dapat diperhatikan pada gelombang revolusi yang telah berlaku baru-baru ini di negara-negara Timur Tengah dan sebahagian Afrika Utara, iaitu yang digelarkan sebagai “Arab Spring”.

“Daripada kejadian itu, kita tahu bahawa suara rakyat mempunyai keupayaan yang begitu kuat sehinggakan dapat menyingkirkan diktator yang sudah berkuasa berdekad lamanya, untuk memberi laluan kepada demokrasi baru.

“Insiden-insiden sebegini merupakan petanda-petanda jelas bahawa kepimpinan global perlu mengambil pendekatan baru demi memelihara keamanan dan keharmonian. Saya pasti bahawa pemimpin-pemimpin dari seluruh dunia akan memberikan respons positif kepada seruan saya terhadap pergerakan kesederhanaan global,” katanya.

Najib telah menggesa bagi “pergerakan kesederhanaan global” pada perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York tahun lepas dan gesaan itu diteruskan pada Dialog Antarabangsa Langkawi pada Jun, Mesyuarat Ketua-ketua Komanwel di Perth pada Oktober dan Sidang Kemuncak APEC di Hawaii bulan lepas.

Perdana Menteri berkata dengan mengutamakan rakyat dan mendahulukan mereka, kerajaan mampu untuk memastikan keseimbangan dalam pentadbiran.

“Bagi saya, ini adalah sesuatu yang perlu dilakukan, kerana sesuatu kerajaan itu wujud untuk berkhidmat kepada rakyat maka suara rakyat perlu sentiasa didengar apabila membentuk sesuatu dasar ataupun program.

“Inilah janji saya dalam agenda 1Malaysia – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan,” katanya.

Bagaimanapun, Najib berkata perlu diingatkan bahawa untuk berjaya, kesederhanaan mestilah sama-sama dipikul dan diamalkan oleh rakyat dan jua kepimpinan.

Katanya walaupun suara rakyat seringkali boleh membawa kepada perubahan, hakikatnya tingkah laku dan sikap yang sederhana, yang dibina atas dasar saling hormat-menghormati dan menerima antara satu sama lain yang memastikan perubahan yang berlaku adalah positif dan baik untuk negara.

Dalam entri itu, Najib juga mengumumkan Kuala Lumpur akan menjadi tuan rumah Persidangan Antarabangsa Pergerakan Kesederhanaan Global yang pertama pada tahun depan.

Beliau berkata peristiwa bersejarah ini bukan sahaja merupakan satu pencapaian yang penting bagi Malaysia, tetapi akan juga menjadi testimoni penting kepada dunia bahawa sesungguhnya Malaysia adalah sebuah negara yang sinonim dengan perpaduan dan keharmonian.

Najib berkata beliau juga teruja dengan kemungkinan Malaysia dijadikan negara contoh sebagai penandaaras negara yang sederhana bagi seluruh dunia.

“Ini adalah peluang kita bukan sahaja untuk mempamerkan semangat 1Malaysia kita kepada dunia, tetapi juga untuk mengukuhkan kedinamikan kita sebagai sebuah negara yang hidup dalam keamanan dan perpaduan walaupun mempunyai perbezaan latar belakang, bangsa, budaya dan kepercayaan.

“Kita harus berbangga dengan diri kita dan jadikanlah ini sebagai satu peringatan untuk kita agar bersyukur menjadi rakyat Malaysia. Kita harus menggunakan peluang ini dengan sebaik yang mungkin,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply