BlogFeatured Articles

Kesamarataan dalam Islam

By Friday June 23rd, 2017 No Comments

Islam bukan hanya mengajak umatnya berbuat baik sesama Islam tetapi juga antara bukan Islam. Al-Quran telah menetapkan bahawa manusia secara semula jadinya dicipta dalam kelompok dan budaya yang berbeza dan kita harus menghormati kepelbagaian ini sebagai satu hukum alam.

Perkara ini telah dinyatakan oleh Allah SWT dalam Surah Al-Hujuraat ayat 13 yang bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya)…”

Lebih penting lagi, ayat ini juga menekankan kesamarataan antara kaum, bahawa Islam mengiktiraf kemuliaan setiap manusia tanpa mengira etnik atau kaum. Saya sentiasa berpegang teguh kepada prinsip ini dan kita tidak boleh menjadikan perbezaan etnik sebagai alasan untuk menafikan hak sesuatu kaum seperti yang disebut Allah SWT dalam Surah Al-Maaidah ayat 8:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa…”

Saya percaya prinsip kesamarataan ini sangat berhubung kait dengan prinsip keadilan yang merupakan salah satu asas kepada kemakmuran negara kita. Dasar-dasar yang digubal kerajaan juga mencerminkan prinsip-prinsip berikut seperti, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan bantuan eKasih yang diberikan kepada individu-individu yang memerlukan bantuan tanpa mengira bangsa dan agama.

Akhir kata, saya harap kita akan terus jadikan kepelbagaian dan perbezaan sebagai kekuatan negara kita, untuk saling mengenali dan membantu satu sama lain dan bukanlah faktor untuk berpecah belah serta bermusuhan.

Leave a Reply