News_archive

Kerajaan, Ulama, Cendekiawan Islam Dan Penulis Maya Benteng Islam – Najib

By Sunday February 19th, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pemuafakatan antara kerajaan dengan ulama, cendekiawan Islam dan penulis maya menjadi benteng kukuh dalam mempertahankan kepentingan dan maruah agama Islam di Malaysia.

Menyedari kepentingan itu, Perdana Menteri berkata tiga kumpulan berkenaan perlu lebih peka dan prihatin terhadap perkembangan semasa dan perubahan dasar kerajaan supaya setiap maklumat dapat disampaikan dengan tepat dan berkredibiliti.

Beliau berkata kumpulan itu perlu sentiasa bekerjasama antara satu sama lain, termasuk dengan kerajaan untuk menyaring setiap maklumat dan menapis segala tuduhan dan fitnah jahat daripada pihak tidak bertanggungjawab untuk kepentingan tertentu.

“Oleh itu, pemuafakatan yang wujud di antara ketiga-tiga kumpulan ini dan pihak kerajaan akan menjadi benteng pertahanan kepada kepentingan dan maruah agama Islam,”katanya semasa menutup Himpunan Ulama, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Kebangsaan 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.

Himpunan yang diadakan buat julung kali bertemakan “Bermuafakat Mentransformasikan Ummah” itu berlangsung selama dua hari sejak semalam.

Najib berkata penglibatan tiga kumpulan itu amat penting dalam konteks cabaran semasa seperti melakukan tindak balas membetulkan segala maklumat berkenaan agenda atau dasar kerajaan yang sering diselewengkan atau sengaja disongsangkan menjadi fitnah untuk tujuan politik.

Katanya sikap berdiam diri, tidak mahu campur tangan atau malas untuk bertindak akan memberi kesan yang sangat buruk kepada umat Islam dan kedudukan agama Islam itu sendiri.

Perdana Menteri berkata bidang politik di dalam Islam merupakan satu jihad yang perlu diutamakan dan tidak dapat dipisahkan daripada perjuangan untuk menegakkan Islam dan memperjuangkan kepentingan umat Islam.

“Jika politik dilihat menerusi dimensi ini, maka ia satu bidang yang sangat berkait rapat dengan peranan manusia di muka bumi ini, iaitu sebagai khalifah Allah.

“Justeru berjihad dalam menyebarkan kebenaran dan menegakkan syariah Islam sama ada melalui penulisan atau percakapan hendaklah dimulai dengan niat yang ikhlas, beramanah, maklumat yang jujur dan tepat, serta tidak mengelirukan pihak yang mendengarnya,” katanya.

Beliau berkata jihad sebegitu akan menghasilkan perpaduan ummah yang sedia ada menjadi lebih kukuh dan utuh, seterusnya memartabatkan Islam di kalangan penganut agama-agama yang lain.

Mengakui revolusi teknologi manklumat sukar dikekang dan dihalang, Najib berkata kerjasama tiga kumpulan berkenaan amat penting untuk diperkukuhkan bagi menjadi penyampai dan benteng dalam menangkis “virus” media sosial yang menggunakan kemudahan itu untuk menyebarkan maklumat atas tujuan tertentu, sama ada tujuan sosial mahupun tujuan politik.

Beliau berkata satu daripada fenomena penggunaan media sosial itu ialah sesuatu perkara atau isu boleh menjadi “macam api dalam sekam” atau “viral” dalam masa yang begitu pantas, berbanding penggunaan surat layang yang pernah menjadi alat menyebarkan isu satu ketika dahulu.

“Saya fikir memanglah rasa macam sesuatu yang cukup berat nak lakukan kalau nak sebarkan sesuatu secara meluas, tapi hari ini dengan media sosial, ia cara yang paling mudah sebab kalau kita hantar satu berita, walaupun palsu tapi kalau menarik, menjadikannya ia viral dalam masa begitu pantas.

“Kita sedar bahawa revolusi IT adalah satu perkembangan yang tidak mampu ditolak, kita tidak ada pilihan, jika kita pilih jalan untuk mengongkong negara atau umat Islam daripada perkembangan ini, ia merupakan satu pilihan yang tidak mungkin dapat dilaksanakan.

“Oleh itu, dalam kita menghadapi ruang siber yang tidak ada sempadan, maka kerjasama antara ketiga-tiga pihak ini amat penting sekali supaya dapat bertindak pantas menghalang maklumat batil itu daripada tersebar yang sesiapa saja boleh menjadi sasarannya,” katanya.

Mengenai himpunan itu, Najib berkata ia sesuatu yang amat istimewa dan tepat pada masanya ketika umat Islam sedang menghadapi cabaran getir yang menuntut kesepaduan dalam mempertahankan negara dan kesucian Islam daripada dipermainkan pihak berkepentingan.

“Sebagai umat Islam, kita sedang berhadapan pelbagai cabaran yang getir dan cabaran ini menuntut kita untuk lebih bersatu padu, lebih terselaras dari segi tindakan kita, lebih kuat lagi iltizam kita dan lebih kukuh lagi pemuafakatan kita agar kestabilan dan kemakmuran negara dapat dipertahankan dan ketinggian Islam dan kesucian Islam itu dapat diperjuangkan secara bersama,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply