News_archive

Kerajaan Tidak Perlu Buat Pinjaman Untuk Laksana BR1M – Najib

By Saturday March 3rd, 2012 No Comments

BALING, 3 Mac (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa kerajaan pusat tidak perlu membuat sebarang pinjaman daripada mana-mana pihak untuk melaksanakan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) seperti yang didakwa pembangkang.

Beliau berkata dakwaan itu hanyalah modal politik yang disebarkan pihak pembangkang bagi mempengaruhi rakyat supaya menolak BR1M.

“Duit itu halal… Apa bukti kita pinjam duit? Sampai sekarang mereka (pakatan pembangkang) tidak ada bukti kita buat pinjaman dan ini menunjukkan ia adalah dakwaan palsu.

“Kita tidak pinjam duit kerana kerajaan Barisan Nasional ada kekuatan ekonomi, kemampuan mengurus tadbir ekonomi negara dengan baik dan cekap,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Rakyat di Padang Awam Kuala Ketil, dekat sini Sabtu.

Beliau berkata pada tahun lepas pendapatan negara melonjak lebih RM26 bilion dan daripada jumlah itu lebih RM2.6 bilion diperuntukkan untuk pelaksanaan BR1M.

Najib berkata bagi Kedah sahaja jumlah penerima adalah seramai 328,157 yang membabitkan peruntukan RM164.08 juta.

Beliau berkata ketika mengumumkan Belanjawan 2012, ramai yang berpendapat bahawa banyak perkara dalam belanjawan itu tidak mungkin dilaksanakan, namun kini janji itu telah ditunaikan.

“Setiap murid sekolah dapat RM100, perkara ini juga sudah kita tunaikan dan kita bagi RM500 kepada keluarga berpendapatan RM3,000 ke bawah. Sebanyak 80 peratus isi rumah layak mendapat RM500 ini.

“Kita tidak janji apa yang tidak boleh ditunaikan, bukan seperti pembangkang yang hanya tabur janji manis dan akhirnya janji tinggal janji,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply