News_archive

Kerajaan tidak ada niat rampas tanah kaum Iban

By Wednesday June 17th, 2009 No Comments

LUBOK ANTU 18 Jun – Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai sebarang niat untuk merampas tanah mana-mana pihak khususnya masyarakat kaum Iban di negeri ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan mahu menjamin masa depan kaum tersebut dengan menyelesaikan masalah tanah yang dihadapi masyarakat Iban selama ini.

Katanya, beliau telah berbincang dengan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengenai tanah-tanah yang akan dimajukan di bawah konsep model pembangunan bagi memberi jaminan pendapatan tetap kepada masyarakat tersebut.

“Saya percaya model pembangunan ini akan memberi jaminan kepada masyarakat kaum Iban masa depan yang lebih baik.

“Masyarakat Iban mesti memberi kepercayaan dan keyakinan kepada kerajaan BN untuk terus membela untung nasib dan masa depan mereka,” katanya pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Manai, Naga San di sini hari ini.

Hadir sama Abdul Taib, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Uggah Embas.

Dalam pada itu, Najib melahirkan rasa gembira kerana dapat sampai ke Batang Air bagi mengucapkan ribuan terima kasih kepada masyarakat dan para pengundi yang memberi sokongan kepada BN pada pilihan raya kecil lalu.

Malah katanya, beliau berasa gembira dan terharu apabila Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air dengan tambahan majoriti yang begitu membanggakan.

Tambahnya, ini bermakna penduduk di Batang Air khususnya masyarakat Iban di sini masih menaruh keyakinan kepada BN untuk terus membangunkan mereka.

“Saya mengucapkan tahniah kepada hero Batang Air iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri, Malcom Mussen Lamoh yang menang pada pilihan raya kecil lalu,” ujarnya.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply