News_archive

Kerajaan Tak Bersikap Raih Undi Tetapi Korbankan Kepentingan Negara – Najib

By Thursday January 26th, 2012 No Comments

KANGAR, 27 Jan (Bernama) — Kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) tidak akan mengambil sikap mencari keuntungan jangka pendek seperti meraih undi untuk pilihan raya tetapi mengorbankan kepentingan negara bagi jangka masa panjang, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata perancangan yang berdasarkan kepada pertimbangan semasa termasuk membuat pelbagai janji adalah semata-mata mahu meraih undi daripada rakyat tetapi ia boleh membawa kepada kehancuran ekonomi sesebuah negara.

Katanya dalam mahu meraih sokongan rakyat, kerajaan tidak akan mengambil sikap tidak bertanggungjawab dengan berjanji melakukan segala-galanya seperti yang dilakukan pembangkang.

“(Kalau dah berjanji) apabila hendak melaksanakannya mungkin kita akan senasib, sebaris dengan beberapa negara lain (negara-negara Eropah yang berhadapan dengan masalah ekonomi ketika ini).

“Kita bukan hanya nak raih sokongan dalam pilihan raya tetapi merosakkan kepentingan negara pada keseluruhannya. Kita tadbir negara dengan cekap, membina kekuatan dan kemudian beri keuntungan kepada rakyat,” katanya pada Majlis Mesra Rakyat 1Malaysia di Dewan Simpang Empat di sini pada Jumaat.

Turut hadir pada majlis itu adalah isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan dua bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Tan Sr Dr Abdul Hamid Pawanteh.

Najib berkata bagi tempoh 2010 hingga 2011, hasil negara bertambah sebanyak RM26 bilion.

“Cukai kita tidak naikkan, kita kurangkan lagi adalah. Bantuan kita tak potong, kita tambah lagi. Subsidi kita kekalkan. Prestasi ekonomi makin baik kerana kecekapan kita tadbir negara,” katanya.

Perdana Menteri berkata pembangkang boleh berjanji sahaja malah janji mereka tiada had bumbungnya.

Mengulas lanjut pada sidang media selepas itu, Najib berkata sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, pihaknya tidak boleh mengorbankan kepentingan jangka masa panjang dan generasi akan datang semata-mata untuk meraih sokongan undi daripada rakyat.

“Saya bagi contoh negara-negara Eropah yang terjerumus dalam keadaan ekonomi yang memalukan dari segi maruah mereka, perkara ini boleh berlaku dalam sekelip mata.

“Kita kena lihat kepentingan dalam jangka masa panjang tapi dalam masa sama lihat apa boleh buat dalam jangka pendek,” katanya.

Beliau berkata janji-janji pembangkang seperti ingin menghapuskan tol dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta menurunkan harga minyak adalah perkara yang tidak realistik.

“Tidak realistik kalau hendak hapuskan tol dan PTPTN. Hutang PTPTN banyak… ada RM40 bilion sekarang. Pada masa akan datang semua pelajar IPT kalau dapat PTPTN akan minta supaya hapus kira.

“Ini resepi untuk economic disaster. Tak payah pakar ekonomi, orang biasa pun boleh fikir ia akan bawa kehancuran ekonomi,” kata Najib.

Sumber : Bernama

Leave a Reply