News_archive

Kerajaan Sokong Pelan Insentif Cukai Baharu Petronas

By Tuesday November 30th, 2010 No Comments

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) — Kerajaan menyokong pelan baharu insentif cukai yang dicadangkan oleh Petronas, yang akan dimasukkan dalam Akta Cukai Pendapatan Petroleum, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini.

Beliau berkata lima insentif baharu itu dicadangkan bagi mempromosi pembangunan sumber minyak baharu, memudahkan eksploitasi medan minyak yang jauh dan merangsang eksplorasi domestik.

“Dengan mengurangkan risiko dan meningkatkan ganjaran untuk pelaburan, inisiatif ini berpotensi menjurus kepada penjanaan perolehan petroleum tambahan lebih daripada RM50 bilion untuk Malaysia dalam tempoh 20 tahun akan datang,” kata Najib semasa mengumumkan sembilan pembangunan baharu dan Projek Permulaan Program Transformasi Ekonomi di sini.

Najib berkata akan berlaku pertukaran nosional kira-kira RM8 bilion dalam bentuk kehilangan perolehan daripada peruntukan cukai pelaburan, pengurangan cukai dan pelepasan duti eksport untuk medan marginal.

“Namun manfaatnya melebihi tukar ganti, dan langkah ini merupakan perubahan dasar rasional yang akan membolehkan sektor swasta memain peranan yang lebih besar dalam pembangunan ekonomi kita,” katanya.

Lima insentif baharu itu ialah:

* Peruntukan cukai pelaburan sehingga 60 hingga 100 peratus perbelanjaan modal yang akan dipotong daripada pendapatan statutori bagi menggalakkan pembangunan projek berintensifkan modal dalam bidang penemuan minyak yang dipertingkatkan, medan gas karbon diaoksida tinggi, tekanan tinggi suhu tinggi, projek laut dalam dan infrastruktur untuk operasi petroleum;

* Mengurangkan kadar cukai kepada 25 peratus daripada 38 peratus sekarang untuk pembangunan medan minyak dalam meningkatkan daya maju komersil pembangunan itu;

* Meningkatkan peruntukan modal sehingga lima tahun dari 10 tahun, dengan penggunaan penuh potongan kos yang boleh meningkatkan daya maju projek;

* Pemindahan perbelanjaan eksplorasi yang dibenarkan dalam perjanjian petroleum dengan rakan usaha sama yang sama atau pemilik tunggal untuk meningkatkan sikap pengambilan risiko di kalangan kontraktor yang akan menggalakkan aktiviti eksplorasi tahap tinggi; dan

* Memansuhkan duti eksport ke atas keluaran minyak dan eksport dari pembangunan medan marginal untuk meningkatkan daya maju projek.

Sumber : Bernama

Leave a Reply