News_archive

Kerajaan Pusat, Negeri Daripada Pihak Sama Mudahkan Urusan Pentadbiran – Najib

By Friday February 24th, 2012 No Comments

MELAKA, 25 Feb (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pentadbiran sesebuah negeri akan menjadi lebih mudah jika kerajaan pusat dan negeri diperintah oleh Barisan Nasional.

Merujuk Melaka sebagai contoh, beliau berkata, “Di Melaka, kita bukan uruskan negeri yang gagal tetapi sebuah negeri yang berjaya. Kita menguruskan kejayaan.

“Kesesakan lalu lintas yang dilaporkan berlaku di sini mungkin disebabkan banyak pelancong yang berkunjung kerana Melaka tersohor di seluruh dunia, dan ada lagi projek pembangunan yang dipohon kerajaan negeri.

“Itulah gunanya kalau kerajaan pusat dan kerajaan negeri dari parti yang sama, kurang masalah,” katanya pada jamuan sempena majlis pemimpin bersama rakyat di Malim Jaya di sini Jumaat malam.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Najib juga berkata kepercayaan tidak boleh diberikan kepada pihak yang mengutamakan kedudukan politik lebih daripada kepentingan rakyat dan negara.

Beliau merujuk isu air dan masalah lain di Selangor yang ditadbir pembangkang sebagai contoh.

“Kalau tak selesai masalah air, di Lembah Klang nanti kekurangan air tak lama lagi kerana mereka utamakan politik, bukan soal rakyat,” katanya.

Beliau turut menyelar sikap pemimpin pembangkang yang sering membuat kenyataan berbeza berdasarkan khalayak yang mendengarnya.

Dalam pada itu, Najib berkata Melaka antara tempat terbaik daripada segi cerminan kepada semangat 1Malaysia berdasarkan sokongan masyarakat pelbagai bangsa terhadap majlis yang diadakan sempena lawatan sehari beliau.

Najib berkata sifat bersatu padu serta kekuatan setiap kaum, jika digemblengkan, boleh menjadi ikatan kukuh dalam usaha memacu Malaysia menjadi negara hebat dan berjaya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply