Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Kerajaan Punya Kecairan RM250b Bantu Usahawan - Najib Razak
News_archive

Kerajaan Punya Kecairan RM250b Bantu Usahawan

By Sunday March 22nd, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia mempunyai jumlah kecairan yang besar sebanyak RM250 bilion yang boleh diguna pakai bagi membantu para pengusaha tempatan pada masa krisis ekonomi global sekarang ini.

“Ini jumlah kecairan yang boleh digunakan di dalam keseluruhan pasaran perbankan dan permodalan. Malaysia tidak kekurangan kecairan dan kita boleh menggunakan kelebihan itu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau, yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan akan turut memberi insentif bagi menggalakkan institusi kewangan memberi pinjaman kepada pengusaha yang memerlukan, seperti memberi jaminan bayar balik kepada institusi berkenaan bagi mengurangkan risiko tanggungan.

“Salah satu daripada punca penting dalam menghadapi kemelut dunia ialah memastikan sistem kewangan negara dapat menyalurkan pinjaman kepada para pengusaha yang memerlukannya,” katanya ketika berucap di Simposium Usahawan Bumiputera MIDF 2009 di sini.

“Selagi sektor perbankan tidak memberi pinjaman, selama itu usaha untuk memulihkan ekonomi dunia tidak akan berjaya,” katanya.

Antara insentif yang disediakan ialah Skim Jaminan Usahawan Kecil oleh Credit Guarantee Corporation (CGC) di bawah penyeliaan Bank Negara Malaysia, yang akan memperuntukkan 80 peratus jaminan ke atas pinjaman yang diluluskan di bawah skim ini.

“Dengan mengurangkan risiko dan menggunakan 80 peratus daripada jumlah itu, bank akan mendapat insentif untuk menyediakan pinjaman pada masa sukar ini kerana mereka juga tidak mahu terdedah kepada risiko seperi orang lain.

Kami sedang memantau perkara itu dengan teliti dan berharap pemberian pinjaman dan kredit yang ditawarkan akan berada pada tahap menampung keperluan perniagaan untuk berfungsi yang termasuk pelaburan, modal kerja dan juga mereka yang berupaya mendapatkan pasaran eksport,” katanya.

Selain itu, Najib berkata Skim Dana Jaminan Pengstrukturan Semula Industri sebanyak RM5 bilion juga dapat membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menstruktur semula perniagaan bagi menambahkan produktiviti dan daya saing.

“Inilah masa terbaik untuk membuat pengstrukturan semula. Bila ekonomi sudah pulih, kita akan lebih bersedia untuk pasaran dalaman dan luaran,” katanya.

Institusi Jaminan Kewangan dengan modal RM1 bilion pula adalah bagi menjana pinjaman dari pasaran bon bagi membiayai syarikat berpotensi yang hanya mempunyai taraf AA atau A sahaja.

Dari modal itu, dianggarkan bon sebanyak RM15 bilion dapat diterbitkan.

“Kita memerlukan ini kerana sesetengah syarikat yang baik tidak mempunyai penarafan AAA. Hanya syarikat berpenarafan AAA mendapat akses kepada pasaran bon. Ini merupakan inisiatif jangka panjang dan malah boleh diguna pakai melangkaui tempoh krisis semasa,” kata Najib.

Di samping itu, RM300 juta diperuntukkan kepada Program Mikro Kredit di Agro Bank dan RM50 juta kepada TEKUN bagi membantu golongan petani dan peniaga berasaskan pertanian di luar bandar.

Menurut Najib, inisiatif ini adalah dari teras ketiga daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua, yang dikhususkan bagi membantu sektor swasta yang menghadapi krisis di dalam perniagaan mereka.

Menurut Najib, PKS merupakan antara penjana ekonomi negara yang utama, malah turut menyumbangkan 56 peratus kepada jumlah pekerjaan di Malaysia.

PKS juga merangkumi 99 peratus daripada jumlah perniagaan berdaftar di Malaysia dan meyumbangkan 32 peratus kepada Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK).

Sumber: Bernama

Leave a Reply