News_archive

Kerajaan Memperuntukkan RM490 Juta Untuk Projek Tebatan Banjir Di Kerian

By Saturday January 14th, 2012 No Comments

PARIT BUNTAR, 14 Jan (Bernama) — Kehadiran Datuk Seri Najib Tun Razak ke Parit Buntar hari ini membawa khabar gembira kepada penduduk setempat apabila Perdana Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM490 juta untuk projek tebatan banjir serta meluluskan pembinaan sebuah hospital di daerah Kerian.

Ketika mengumumkan perkara itu semasa merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat Kebangsaan 2011 di Padang Bandaran di sini, beliau berkata kerajaan meluluskan projek tebatan banjir itu, yang dicadangkan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, memandangkan kawasan itu terdedah kepada ancaman banjir.

Najib berkata tender bagi fasa pertama projek itu telah dikeluarkan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan kini menunggu keputusan pihak yang berjaya.

Antara lain projek itu melibatkan pembinaan ban di sebelah kiri dan kanan Sungai Kerian dan Sungai Kurau, katanya ketika diminta mengulas projek tebatan banjir itu dalam sidang media.

Selain itu, ban juga akan dibina berhadapan dengan laut bagi mengelak air masin memasuki ke kawasan sawah padi, katanya.

Mengenai cadangan pembinaan hospital daerah itu pula, Najib berkata hospital itu bakal menempatkan 300 buah katil dan bagaimanapun kos pembinaannya belum ditentukan lagi.

Sementara itu, Zambry berkata peruntukan itu menunjukkan kerajaan persekutuan prihatin dengan masalah penduduk di negeri ini kerana masalah banjir di daerah itu telah lama berlarutan dan perkara itu menjejaskan kehidupan rakyat.

Kong Chong Ming, 50, yang merupakan seorang pesawah padi berkata projek tebatan banjir membantu para petani meningkatkan pengeluarannya.

“Projek ini bagus…bila banjir susah untuk kita keluar ke bendang sebab ia sudah ditenggelami air,” katanya.

Seorang suri rumah, Jamaliah Abd Hamid, 64, berkata perancangan kerajaan untuk menubuhkan hospital berkenaan akan memudahkan penduduk setempat mendapatkan rawatan.

“Sebelum ini bila sakit saya pergi ke Hospital Taiping untuk dapatkan rawatan. Untuk ke sana makan masa, bila kerajaan umumkan nak dirikan hospital ia satu kemudahan selain memudahkan orang ramai,” katanya yang berasal dari Kampung Piandang, Parit Buntar.

Mohamad Yahya dari Kampung Dew, Taiping berkata usaha kerajaan itu adalah untuk membantu rakyat kerana ia merupakan kemudahan yang penting.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana berusaha untuk memberi kesenangan kepada rakyat.

“Memang patut di setiap daerah perlu ada hospital, kalau tidak penduduk Parit Buntar jauh nak pergi hospital,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply