News_archive

Kerajaan Lulus Peruntukan RM42 Juta Untuk Tingkat Bekalan Elektrik Di Sandakan

By Monday May 7th, 2012 No Comments

SANDAKAN, 7 Mei (Bernama) — Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM42 juta untuk membuka semula Stesen Janakuasa Elektrik Batu Sapi di sini bagi meningkatkan bekalan elektrik di daerah ini.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata peruntukan itu sepatutnya dikeluarkan untuk tahun depan tetapi dipercepatkan bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan elektrik terutama di daerah ini.

“Ia hasil lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke daerah ini pada bulan lepas yang mahu kementerian mengambil tindakan segera mengatasi gangguan bekalan elektrik di daerah ini,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Stesen Janakuasa Elektrik Batu Sapi, Stesen Janakuasa Gantisan dan Pusat Pembahagi Utama Taman Tsun Nyen, di sini pada Isnin.

Beliau berkata Stesen Janakuasa Elektrik Batu Sapi yang ditutup pada 2010 dijangka dibuka semula November ini, dengan kapasiti penjanaan sebanyak 20 Megawatt (MW).

Katanya pada masa sekarang kapasiti penjanaan di daerah ini adalah sebanyak 100.7MW sehari dan tidak mencukupi berdasarkan permintaan waktu beban puncak sebanyak 106.6MW sehari.

Sumber : Bernama

Leave a Reply