News_archive

Kerajaan hormati kebebasan sistem kehakiman – Najib

By Wednesday September 7th, 2011 No Comments

PUTRAJAYA 7 Sept. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan di bawah pentadbiran beliau amat menghormati dan memahami keperluan kebebasan sistem kehakiman di negara ini.

Tegas Perdana Menteri, pihaknya komited kepada pelaksanaan sistem kehakiman yang bebas kerana ia adalah asas utama kepada kejayaan membina mana-mana negara.

“Sebenarnya dalam menimbang untuk membuat lawatan kerja ke Istana Kehakiman ini, saya mengambil sikap berhati-hati supaya tidak timbul sebarang tanggapan atau perspektif negatif mengenai hubungan antara badan eksekutif dan badan kehakiman.

“Jalinan hubungan ini bukan hanya perlu sempurna tetapi ia juga perlu nampak sempurna,” katanya ketika berucap sempena melakukan lawatan kerja kali pertamanya ke Istana Kehakiman di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi.

Sempena lawatan itu, Perdana Menteri meluangkan masa melawat Istana Kehakiman yang siap dibina pada Julai 2003 dan diduduki sepenuhnya pada November tahun yang sama.

Najib berkata, beliau hanya bersedia melakukan lawatan kerja ke Istana Kehakiman tersebut apabila menerima undangan daripada Zaki sendiri.

Malah, beliau menambah, Zaki sendiri menganggap lawatan itu tidak akan memberi sebarang tanggapan atau perspektif negatif dari masyarakat umum.

“Saya berani buat lawatan ini apabila Ketua Hakim Negara (Zaki) yang mengundang dan beliau menyatakan tidak ada masalah kerana pertemuan seperti ini pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, tujuan lawatan kerja beliau itu untuk meninjau dengan lebih dekat pembaharuan-pembaharuan yang telah dilaksanakan oleh badan kehakiman di negara ini di bawah pimpinan Zaki.

“Melalui pengamatan saya dan juga penerangan oleh Tun Zaki, saya percaya badan kehakiman telah melangkah ke satu tahap yang membanggakan terutama menerusi usaha-usaha yang dilakukan untuk mengurangkan kes-kes tertunggak,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply