News_archive

Kerajaan bersih, dipercayai rakyat

By Tuesday April 7th, 2009 No Comments

TAIPING 6 April – Tun Dr. Mahathir Mohamad berharap dapat melihat sebuah kerajaan yang bersih dan dipercayai oleh rakyat di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dr. Mahathir bagaimanapun menegaskan, barisan Kabinet yang akan diumumkan tidak lama lagi bukan ditentukan oleh beliau.

”Itu (barisan Kabinet) bukan ditentukan oleh saya. Itu terpulang kepada Najib, saya tak lagi jadi Perdana Menteri (PM).

”Secara tidak kebetulan atau pun kebetulan, saya tidak tahu (tentang barisan Kabinet)… saya bukan PM,” katanya kepada pemberita selepas majlis pertemuan dengan pegawai kerajaan dan ahli perniagaan di Kamalodge di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir.

Dr. Mahathir yang merupakan Perdana Menteri keempat juga berpuas hati setelah mendapati UMNO kini bersedia untuk mendengar pendapat rakyat.

Katanya, ia jelas dilihat apabila Najib mengambil langkah awal dengan membebaskan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan membenarkan semula akhbar Pas, Harakah beroperasi semula.

Jelas beliau, tindakan Najib yang terus ‘turun padang’ dan bertemu dengan rakyat pada hari kedua menjadi Perdana Menteri juga adalah sesuatu yang positif.

”Saya yakin kepimpinan Najib dapat mencerminkan UMNO yang asal.

”Peluang Barisan Nasional (BN) untuk menang di Bukit Gantang juga nampak baik. Saya percaya sekurang-kurangnya pun kita taklah seteruk macam dulu,” katanya.

Mengenai kedudukan Kerajaan Negeri Perak, Dr. Mahathir berkata, perkara itu perlu diterima semua pihak kecuali jika pembangkang dapat membuktikan sebaliknya di mahkamah.

”Penjelasannya mudah saja… saya bukannya hakim. Ia cuma pendapat saya dan mungkin saya salah. Semuanya bergantung kepada hakim,” katanya.

Sumber :utusan online Bernama

Leave a Reply