News_archive

Kerajaan Beli Sabah Medical Centre

By Monday May 4th, 2009 No Comments

KOTA KINABALU, 5 Mei (Bernama) — Kerajaan akan membeli hospital swasta, Sabah Medical Centre (SMC) di sini, bagi membantu mengatasi masalah perkhidmatan kesihatan selepas menara utama Hospital Queen Elizabeth didapati tidak selamat digunakan.

Ketika mengumumkannya hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu agar segala urusan mengenai pembelian itu dipercepatkan.

“Kita sudah luluskan pembelian SMC oleh Kementerian Kesihatan dengan harga yang sangat wajar, lebih kurang RM245 juta, dan dengan sedikit tambahan, kita akan melakukan penambahbaikan,” katanya ketika berucap pada majlis bersama rakyat di Padang Merdeka di sini, Selasa.

Najib berkata pembelian SMC adalah wajar memandangkan pembinaan hospital baru memakan masa.

Katanya ini adalah sebahagian daripada hasrat kerajaan Barisan Nasional untuk terus bekerjasama dengan kerajaan negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan barisan kabinet negeri, dan bekerja sebagai satu pasukan.

“Kerajaan pusat akan terus membantu kerajaan negeri Sabah membangun. Menteri-menteri (di peringkat persekutuan) dari Sabah pun akan bantu Sabah membangun.

“Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini sudah buat komitmen RM1 bilion (peruntukan khas) tambahan untuk negeri Sabah, saya akan tunaikan komitmen Pak Lah. Setakat ini RM500 juta sudah ada di tangan Pegawai Pembangunan Negeri, dan baki akan diberi lagi,” katanya.

Najib menggesa pemimpin dan wakil rakyat untuk turun ke padang mendengar masalah rakyat, tanpa perlu menunggu jemputan atau undangan supaya masalah-masalah dapat diselesaikan dengan cepat dan pemimpin dekat di hati rakyat.

“Tak payah tunggu jemputan sebagai wakil rakyat, tak payah diundang, tak payah ada bunga manggar, tidak payah hamparan merah, tak payah tunggu (jurukamera) televisyen ada. Tak payah protokol-protokolnya atau rasmi-rasmi.

“Ada banyak bezanya kalau kita diberi taklimat dalam bilik berhawa dingin, berkerusi empuk tapi kalau turun padang tengok dengan mata kepala kita sendiri, kita tahu apa masalah rakyat yang sebenarnya. Ini saya hendak menjadi stail pemimpin-pemimpin BN.

“Kalau Perdana Menteri boleh buat, menteri-menteri tak boleh buat ke? Wakil-wakil rakyat tak boleh buat ke?” kata Najib sambil disambut laungan “boleh” daripada hadirin di padang tersebut.

Najib berkata beliau tidak mahu melihat pemimpin BN sebagai pemimpin yang ditakuti sebaliknya sebagai pemimpin yang disayangi dan dihormati.

Katanya kerajaan BN mempunyai satu impian tetapi bukan ‘mimpi yang tidak pijak di atas bumi yang nyata’ seperti pemimpin pembangkang yang berterusan menipu rakyat Malaysia termasuk rakyat Sabah.

“Pembangkang mimpi nak tubuh kerajaan baru pada 16 Sept (tahun lalu), tak jadi 16 sept, tunggu Disember tapi Disember berlalu, Malaysia tetap di bawah kerajaan BN.

“Saya dengar ada tarikh baru lagi, bulan Ogos ini pula nak ambil alih. Sampai bila rakyat Malaysia nak ditipu oleh pemimpin-pemimpin pembangkang yang tak ada kerja lain selain tabur fitnah dan politiking habis-habis?” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata BN tidak akan melakukan perkara-perkara seperti itu kerana kerajaan BN memegang amanah untuk membela nasib rakyat, dan ingin mengamalkan budaya ‘berkhidmat untuk rakyat’.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dalam ucapannya berterima kasih kepada Najib kerana melantik ramai pemimpin Sabah menjawat portfolio sebagai menteri dan timbalan menteri dalam pentadbiran persekutuan.

“Sesungguhnya, ini jelas membuktikan Perdana Menteri memberikan pengiktirafan yang tulus kepada rakyat Sabah.

Beliau benar-benar ikhlas dan komited untuk menjadikan negara kita khususnya Sabah dan Sarawak, terus membangun dengan pesat dan bertambah maju seiring dengan arus pembangunan nasional,” katanya.

— BERNAMA

Sumber : Bernama

Leave a Reply