News_archive

Kerajaan Akan Melakukan Terbaik Baiki Sistem Pilihan Raya Di Negara Ini, Kata Najib

By Wednesday August 17th, 2011 No Comments

PELABUHAN KLANG, 17 Ogos (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan melakukan yang terbaik bagi memperbaiki sistem pilihan raya di negara ini.

Perdana Menteri berkata untuk itu, kerajaan bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen bagi menambah baik proses pilihan raya di negara ini, dan ini mencerminkan keikhlasan kerajaan yang mahu memastikan pilihan raya di negara ini dijalankan dengan adil dan bersih.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) juga tidak takut kepada pembaharuan yang akan diadakan nanti kerana ingin memastikan sesiapa yang dipilih untuk memerintah negara ini mestilah berasaskan kehendak rakyat yang sebenar, katanya pada majlis berbuka puasa bersama rakyat di Pangsapuri Sri Perantau di sini yang dihadiri kira-kira 10,000 orang.

Najib turut berkata jika pilihan raya yang diadakan di negara ini songsang, tentu BN tidak akan menyerahkan Selangor kepada parti pembangkang pada pilihan raya lepas.

Perdana Menteri turut mengingatkan rakyat supaya tidak memandang ringan terhadap kehidupan aman dan harmoni di negara ini walaupun rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum, dan juga tidak memperkecilkan apa yang dikecapi.

Malah rakyat Malaysia perlu terus memelihara dan menghargai keharmonian dan ketenteraman yang dikecapi ini, katanya.

Najib berkata beliau dapat merasakan perasaan rakan sejawatnya Perdana Menteri Britain David Cameron yang berhadapan dengan rusuhan baru-baru ini.

Cameron berkata masyarakat Britain yang mengamalkan demokrasi berparlimen kini telah dinodai akhlaknya.

Menyentuh mengenai Umno, Najib yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor berkata pihaknya sedia menimbangkan permintaan rakyat setempat, seperti yang disuarakan oleh Umno Bahagian Kapar supaya kerajaan membuka Kedai Rakyat 1Malaysia dan Klinik 1Malaysia di kawasan itu.

Beliau juga melahirkan rasa terima kasihnya atas kehadiran ribuan rakyat kawasan itu pada majlis berbuka puasa tersebut, walaupun terdapat surat layang yang disebarkan kononnya beliau tidak akan hadir di majlis ini.

Najib berkata tindakannnya turun padang adalah merupakan kewajipan beliau sebagai pemimpin, dan ini juga merupakan cara yang terbaik untuknya mendekati rakyat dan meninjau masalah mereka.

Sumber : Bernama

Leave a Reply