News_archive

Keputusan Mansuh ISA Keputusan BN Bukan Perjuangan Pihak Lain – Najib

By Saturday September 17th, 2011 No Comments

SHAH ALAM, 17 Sept (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan bahawa keputusan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah keputusan yang dibuat kerajaan Barisan Nasional (BN) dan bukan perjuangan pihak lain.

Sehubungan itu, kata beliau, jangan ada pihak atau individu yang mahu mendapat nama bahawa pengumuman beliau untuk memansuhkan ISA itu adalah hasil perjuangan mereka.

“Jadi jangan hendaknya ada orang yang nak dapat nama kononnya pengumuman saya dua malam lalu adalah kerana hasil perjuangan mereka,” katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra pemimpin-pemimpin Barisan Nasional “Sirih Pulang ke Gagang” di sini, hari ini.

“Ini bukan hasil perjuangan mereka tetapi adalah keputusan yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional kerana ia adalah kerajaan yang mendengar isi hati rakyat yang inginkan perubahan sedemikian rupa,” katanya.

Dalam perutusan Hari Malaysia beliau pada Khamis lepas, Najib mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan negara.

Najib menjelaskan bahawa keputusan yang dibuat itu adalah selaras dengan hasratnya untuk mengkaji ISA ketika mengambil alih jawatan Perdana Menteri dua tahun lepas.

Katanya perubahan itu akan meletakkan Malaysia di landasan yang lebih kukuh kerana ia akan membentuk sebuah demokrasi yang lebih progresif dan lebih terbuka di samping itu dapat memelihara keharmonian dan ketenteraman awam.

“Kita inginkan keseimbangan di antara keterbukaan dan hak asasi individu di samping menjaga ketenteraman awam dan kepentingan rakyat jelata,” katanya.

Beliau berkata kerajaan BN akan membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih maju, moden, terbuka dan progresif yang menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan secara inklusif.

“Kita juga akan membentuk sebuah negara yang menjaga kepentingan umum dan juga kepentingan hak asasi individu kerana masyarakat kita sudah lebih tinggi taraf pendidikannya dan mereka menuntut kepada pembaharuan yang boleh menjamin masa depan mereka dan hak asasi manusia,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply