News_archive

Keputusan Bina Jambatan Ketiga Belum Muktamad : Najib

By Wednesday June 17th, 2009 No Comments

KOTA SAMARAHAN, 18 Jun (Bernama) — Kerajaan belum membuat keputusan berhubung pembinaan jambatan ketiga antara Malaysia dan Singapura, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata perkara itu masih di peringkat cadangan kerana, sebelum dilaksanakan, satu kajian secara mendalam perlu dilakukan bagi memastikan sama ada ia memberi faedah atau tidak kepada kedua-dua negara.

“Ini bukan keputusan muktamad lagi dan kita akan mengambil langkah untuk membuat kajian dulu, selepas kajian kemungkinan dibuat, kita kena tengok sama ada jambatan ini bermanfaat atau tidak,” katanya kepada pemberita pada majlis pemimpin bersama rakyat di Kampung Pichin, Serian, di sini Khamis.

Beliau diminta mengulas titah Sultan Johor Sultan Iskandar hari ini yang tidak bersetuju dengan cadangan pembinaan jambatan ketiga antara Malaysia dan Singapura di bahagian Johor Timur.

Titah Sultan Iskandar itu disampaikan melalui Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail semasa berucap mewakili ayahandanya pada perasmian persidangan Dewan Undangan Negeri Johor, di Kota Iskandar, Nusajaya di Johor Baharu hari ini.

Mengulas lanjut, Najib berkata, masih ada banyak masa untuk mengadakan perbincangan dengan Sultan Johor dan juga kerajaan negeri Johor bagi mencari jalan penyelesaian terbaik sekiranya projek ini hendak diteruskan.

Katanya belum ada pihak telah dilantik untuk melakukan kajian memandangkan perkara itu perlu mendapat persetujuan dengan Singapura dulu.

Baru-baru ini, beliau mengumumkan mengenai minat Singapura terhadap pembinaan jambatan ketiga itu ekoran pertemuannya dengan Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew di Putrajaya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply