News_archive

Kepimpinan Pembangkang Golongan Anti Nasional, Berjuang Atas Kepentingan Diri – Najib

By Sunday December 5th, 2010 No Comments

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kepimpinan parti-parti pembangkang sebenarnya hanya berjuang mewakili kepentingan tertentu semata-mata bagi mengejar kuasa serta terikat untuk menyelesaikan masalah peribadi sehingga sanggup memperdayakan rakyat.

Perdana Menteri berkata berdasarkan realiti itu, rakyat dan pemimpin Barisan Nasional (BN) perlu berhati-hati dan berwaspada kerana pemimpin pembangkang sanggup melakukan apa saja bagi mencapai matlamat mereka termasuk memburuk-burukkan nama Malaysia di luar negara.

“Berhati-hatilah semua, berwaspadalah semua, mereka ini amat-amat berbahaya. Saya mahu jelaskan di sini, mereka ini anti nasional.

“Kita mesti tentang habis-habisan dan pastikan negara ini tidak akan diporak peranda oleh kegiatan durjana mereka,” katanya ketika menyampaikan amanat dasar sempena Konvensyen BN di Wisma MCA di sini Ahad.

Dalam amanat bertema “Mengukuh Barisan, Mendahulu Rakyat” Najib yang juga Pengerusi BN berkata usaha parti pembangkang untuk cuba meniru BN dari segi kerjasama melibatkan semua komponen parti yang mewakili pelbagai kaum adalah sia-sia kerana mereka tidak mempunyai ramuan keikhlasan, wawasan dan nilai yang dikongsi bersama.

Katanya gelaran pakatan parti-parti pembangkang seperti Gagasan Rakyat, Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat, atau atas nama apapun yang dicipta adalah hanya percubaan-percubaan pembangkang yang hendak bersatu tetapi tidak mungkin berkekalan kerana masing-masing bersifat talam dua muka.

Najib berkata jelas dengan berbuktikan sejarah, kerjasama itu tidak akan berpanjangan kerana matlamat parti pembangkang hanyalah untuk menipu dan menyeleweng pemikiran rakyat.

“Antara DAP dan Pas misalnya, hanya boleh tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain. Mereka nampak seolah-olah bersatu, semata-mata kerana ada orang ketiga.

“Maksud saya, kalau dahulu Parti Melayu Semangat 46, hari ini peranan tersebut diambil alih oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR),” katanya.

Semangat 46, parti serpihan Umno pernah bekerjasama dengan Pas dan DAP dalam dua pilihan raya umum pada tahun 1990an sebelum pemimpinnya membubarkan parti itu pada 1997 bagi menyertai semula Umno.

Selain itu, Najib menyelar parti-parti pembangkang yang angkuh mendabik dada kononnya mereka parti demokratik yang mewakili semua kaum tetapi hakikatnya amat jauh berbeza dengan BN.

“Lihat sahaja parti PKR (Parti Keadilan Rakyat), daripada barisan tujuh orang kepimpinan tertinggi mereka, hanya seorang sahaja yang mewakili kaum Cina. Manakala kaum India yang membentuk keahlian kedua terbesar dengan lebih satu perlima ahli, tidak mempunyai seorang pun perwakilan di peringkat tertinggi parti,” katanya.

Najib berkata parti pembangkang juga cuba meniru Umno yang memperkenalkan corak pemilihan kepimpinan yang baru hingga membuatkan pembangkang mulai resah dan menjadi kelam kabut.

“Kita faham mungkin mereka ikut kata pepatah Inggeris ‘imitation is the best form of flattery’ (meniru adalah cara terbaik untuk memuji) . Tampak jelas, apabila kita buat perubahan dan pembaharuan politik yang bersifat dalaman, ia telah menggerunkan mereka, sehingga kelam kabut dan melilau ingin ciplak.

“Pengajarannya di sini, kalau ada orang mahu meniru, sudah tentu apa yang sedang kita lakukan ini, ada kebenarannya,” katanya.

Najib turut menyentuh integriti dan kewibawaan parti pembangkang yang sebenarnya turut disangsikan oleh anggota-anggota parti itu sendiri.

Katanya anggota-anggota parti itu khususnya PKR sendiri telah mengamuk, tidak berpuas hati, memberontak, kecewa, membuat kecoh, membaling kerusi dan ramai yang telah membawa pelbagai isu parti ke mahkamah selain berlakunya perubahan drastik dalam keputusan pemilihan yang mencemarkan kebolehpercayaan kepada proses yang dijalankan.

Perdana Menteri berkata di dada akhbar juga terpampang mengenai ramai pimpinan utama PKR yang telah keluar dari parti itu antara lain Timbalan Presiden, Naib Presiden, Setiausaha Agung, Ketua Pemuda, Naib Ketua Pemuda, Ketua Penerangan, Pengerusi Negeri, Ketua Cabang termasuk Cabang Parlimen.

“Lantaran itu, amatlah pantas jika PKR itu kita katakan sebagai Parti Keluar Ramai-ramai,” katanya.

Perdana Menteri berkata PKR juga menjadi begitu terdesak untuk meraih simpati rakyat sehinggakan Presidennya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail terpaksa mengutarakan bahawa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah anugerah Tuhan.

“Ya, kita faham kesetiaan dan kekaguman seorang isteri terhadap ‘kehebatan’ suaminya itu. Namun rakyat Malaysia ingin bertanya, berdasarkan nas atau hadis mana pendapat itu boleh dibuat? Berbekalkan justifikasi hukum atau istinbat mana sehingga penyataan begini sanggup dikeluarkan?

“Adakah ini ijtihad baru atau lebih tepat sebenarnya satu lagi ajaran songsang. Cukup-cukuplah sandiwara dan drama yang songsang-songsang itu!,” katanya.

Justeru, Najib berharap rakyat jangan mudah terpengaruh dengan perkara karut seperti itu dan mengingatkan rakyat bahawa bukan tanggungjawab rakyat untuk menyelesai dan menanggung beban pemimpin sebaliknya pemimpin yang wajib hadir menyelesaikan masalah rakyat.

“Inilah perbezaan antara kita dan parti lawan kerana BN adalah parti sebenar yang merasai denyut nadi dan menjuarai keluh-kesah rakyat,” katanya.

Najib juga berkata parti pembangkang sekarang tidak memaparkan konsep pelbagai kaum sebaliknya “parti dua buah keluarga dengan satu pihak sekadar menjadi pak turut atau kuda tunggangan”.

“Di sini, saya ingin katakan kepada mereka (pembangkang), mengakulah, bersikap teluslah.

“Jika didedahkan statistik kepimpinan serta keahlian sebenar parti mereka mengikut kaum, maka sangat terang lagi bersuluh, bahawa merekalah parti satu kaum yang menjadikan cauvinisme sebagai falsafah perjuangan dari dahulu sampailah sekarang,” katanya.

Selain itu, Najib turut pelik dengan Pas yang mengaku sebagai parti politik yang berteraskan kepada ajaran Islam apabila sudi bekerjasama dengan kumpulan pemimpin lain yang merupakan pembohong besar, pemalsu dokumen-dokumen, petualang bangsa dan pengkhianat negara.

Perdana Menteri juga mengingatkan rakyat supaya sedar dan faham bahawa parti-parti lawan ini mempunyai maksud yang tidak ikhlas, sangat oportunis dan penuh hipokrasi.

Katanya seluruh negara pasti ingat berhubung angan-angan dan pembohongan parti pembangkang untuk menubuhkan kerajaan pusat pada 16 Sept tahun lepas yang akhirnya menjadi satu pembohongan terbesar dalam sejarah politik tanah air.

“Kita tahu mereka teringin sangat nak ada pejabat di Putrajaya, teringin sangat nak tinggal di Seri Perdana. Kerana itulah mereka sanggup berbuat apapun, hanya untuk merampas kuasa dan dari semasa ke semasa bersifat biadab, rakus lagi haloba,” katanya.

Najib turut mengingatkan anggota komponen parti supaya tidak membiarkan apa yang telah dibangunkan selama ini, dimusnahkan mereka yang tamakkan kuasa.

“Oleh sebab itu, walau apa pun terjadi, kita perlu pertahankan Putrajaya bukan kerana ego atau kepentingan diri yang sempit, akan tetapi demi kepentingan rakyat Malaysia seluruhnya,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply