News_archive

Kepimpinan Najib Berjaya Kembalikan Kepercayaan Rakyat Kepada Kerajaan BN – Tun Daim

By Sunday March 27th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) — Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin berkata kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri sejak April 2009, telah membina kembali keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

Daim berkata itulah juga menjadi faktor utama yang menenangkan keadaan politik di dalam negara secara keseluruhannya pada masa sekarang.

“Saya lihat Datuk Seri Najib sangat jujur dan ikhlas berusaha untuk membantu meninggikan taraf keselesaan hidup rakyat terutama bagi golongan rendah pendapatan dan miskin.

“Setiap warga kita berhak hidup dalam keadaan aman, selesa, bebas dan makmur. Mereka mahu kerajaan yang bersih dan bertanggungjawab. Dan bagi majoriti rakyat, tugas dan tanggungjawab kerajaan adalah menyediakan kemudahan-kemudahan asas, peluang ekonomi yang adil, keamanan, keselamatan dan kebebasan,” Daim berkata dalam wawancara yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia.

Contohnya, tambah beliau, baru-baru ini pun Perdana Menteri melancarkan program bantuan memiliki rumah pertama bagi golongan yang belum mempunyai rumah. Ini satu skim yang wajar dan penting.

“Memang setiap keluarga ingin mempunyai rumah sendiri. Dan kerajaan patut membantu setiap keluarga tanpa rumah memiliki rumah. Rumah adalah harta dan aset ekonomi bagi setiap keluarga.

“Kerana ia skim baru, pasti ada beberapa kekurangan. Misalnya, bantuan kerajaan dari segi kewangan itu akan jadi tak bermakna jika harga rumah terus melipatganda lebih cepat dari peningkatan gaji para pekerja,” katanya.

Beliau berkata tiga perkara mesti diberi perhatian sungguh-sunggih oleh kerajaan iaitu harga rumah, luas ruang keluasan rumah dan lokasi.

Katanya, oleh kerana Malaysia mengamalkan dasar ekonomi bebas atau laissez-faire, tiga perkara itu tidak mudah diimbangi dengan sempurna, namun boleh dilakukan jika ada iltizam politik.

“Jadi saya lihat, secara tahap demi tahap, kerajaan telah berjaya mengurangi keresahan di kalangan rakyat di semua peringkat dan dengan itu juga membina keyakinan yang kerajaan BN adalah lebih progresif dan dinamik setelah kekecewaan teruk tahun 2008 itu,” kata Daim yang pernah menjadi penasihat ekonomi kepada kerajaan pada suatu ketika dahulu.

Sumber : Bernama

Leave a Reply